ZHENG Yong memenangi pingat emas kedua. FOTO SUKAN IPT
ZHENG Yong memenangi pingat emas kedua. FOTO SUKAN IPT
Daripada Syafiq Aznan di Surabaya


Surabaya: Perenang negara, Low Zheng Yong menjadi penyumbang emas tunggal buat skuad renang pada hari kelima acara renang berlangsung di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024, hari ini.

Satu pingat emas ini yang dimenangi hari ini setidak-tidaknya lebih baik berbanding semalam yang menyaksikan mereka gagal menokok sebarang pingat emas.

Pada perlumbaan di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) Jawa Timur itu, penuntut Universiti UCSI menamatkan perlumbaan 1500meter (m) gaya bebas lelaki dengan catatan 16.40:87s sekali gus merangkul pingat emas kedua peribadinya pada temasya kali ini.

Zheng Yong sebelum ini membantu skuad renang negara meraih pingat emas dalam acara 4x200m lelaki.

Selain pingat emas tunggal terbabit, skuad renang turut merangkul tiga lagi pingat gangsa menerusi Terence Ng Shin Jan (100m gaya bebas lelaki), Liew Zeng Wye (1500m gaya bebas lelaki) dan acara 4x100m rampaian wanita dibarisi Christy Teh Xing Ti, Lee Yen Yi, Ho Keesha dan Ng Zi Syuen.

Memasuki hari terakhir acara renang esok, skuad kontinjen negara sudahpun menghimpun lapan pingat emas, enam pingat perak dan 11 pingat gangsa.

Sebagai rekod, skuad renang hanya mensasarkan tujuh pingat emas untuk dimenangi pada temasya di Surabaya-Malang ini.

Sementara itu, skuad bola tampar lelaki negara gagal meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa apabila tewas di tangan Singapura untuk perebutan tempat ketiga.

Skuad bola tampar lelaki tewas 3-1 di tangan seteru seberang tambak itu.

Bagi aksi petanque pula, skuad negara akan menentang Indonesia bagi perebutan pingat gangsa dalam acara double lelaki, pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 8:07 PM