AMIRUDIN bersama Mohamad Zainudin Othman, 61, (kanan) anak kepada mantan Ketua Bahagian Kawasan PKR Nibong Tebal, Othman Jusoh pada program ziarah kasih di Sungai Duri hari ini. FOTO Bernama
AMIRUDIN bersama Mohamad Zainudin Othman, 61, (kanan) anak kepada mantan Ketua Bahagian Kawasan PKR Nibong Tebal, Othman Jusoh pada program ziarah kasih di Sungai Duri hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Nibong Tebal: Jentera Pakatan Harapan (PH) Selangor yang turun membantu kempen calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap sejak seminggu lepas menumpukan gerak kerja bertemu bekas pemimpin setempat di kawasan itu.

Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan bertemu antaranya bekas ketua kampung dan ahli majlis yang masih mempunyai pengaruh di kawasan itu akan membantu jentera dalam menarik sokongan pengundi kepada calon Kerajaan Perpaduan.

"Kita menumpukan kepada jaringan di peringkat negeri, Persekutuan dan (parti) Kerajaan Perpaduan untuk berhubung dengan pengundi," katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih Bersama Pemimpin Berpengaruh di kawasan Sungai Duri di sini hari ini.

Beliau percaya strategi jentera PH Selangor seperti yang dilakukan pada PRK Dun Kuala Kubu Baharu Mei lepas itu akan memberikan hasil sokongan yang jelas menjelang dua atau tiga hari sebelum hari pengundian.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, jentera PH Selangor dipertanggungjawabkan menjaga kawasan daerah mengundi di Puteri Gunung dan Sungai Duri di sini.

"Kita juga menumpukan bagaimana untuk memastikan pengundi ini disantuni Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Barisan Nasional (BN) untuk dapat turun seramai mungkin pada hari pengundian," katanya.

PRK Dun Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 9:31 PM