REKAAN indah busana pengantin dari koleksi Mohd Rizal Tosilan.
REKAAN indah busana pengantin dari koleksi Mohd Rizal Tosilan.
Siti Nadirah Hafidzin


MENYARUNG sepasang busana indah pada hari bahagia bukan saja menaikkan seri wajah mempelai malah ia mampu mencipta kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan seumur hidup.

Begitu besarnya peranan sepasang busana pengantin kerana ia bukan semata-mata mengenai fesyen namun lebih kepada kenangan yang tercipta di sebalik pakaian digayakan.

Mungkin disebabkan itu, kebanyakan pasangan raja sehari bersikap agak cerewet dalam soal pemilihan busana terutama yang bakal digayakan ketika majlis pernikahan dan persandingan.

Bertapak dalam bidang rekaan fesyen khususnya busana pengantin dalam tempoh lebih 10 tahun membuatkan pereka fesyen Mohd Rizal Tosilan tampil dengan variasi rekaan indah yang menggabungkan perincian manik eksklusif dan renda mewah.

REKAAN baju pengantin tidak lengkap tanpa ada permainan manik eksklusif dan renda mewah.
REKAAN baju pengantin tidak lengkap tanpa ada permainan manik eksklusif dan renda mewah.

Mohd Rizal berkata, busana pengantin tidak terkecuali daripada perkembangan fesyen semasa yang memerlukan seorang pereka fesyen itu bijak menghasilkan rekaan.

“Rekaan baju mungkin banyak bezanya daripada tahun ke tahun namun busana pengantin tetap tidak lari daripada permainan manik dan renda kerana ia seperti satu kewajipan yang perlu ada bagi menampilkan sisi mewah dan anggun busana.

“Oleh itu, saya bersama-sama pembantu tidak ketinggalan menggunakan renda mewah dan manik eksklusif supaya semua koleksi busana pengantin ini memberikan kesan memukau kerana ia disarung pada hari bersejarah dalam hidup.

“Kami juga banyak menghasilkan busana tradisional yang digabungkan dengan ciri moden seperti menggunakan renda bunga tiga dimensi,” katanya.

Menurut Mohd Rizal, pelanggan juga boleh memilih pelbagai koleksi busana indah sama ada gaun labuh, kurung moden atau peplum yang kebanyakannya dihasilkan dengan gabungan rekaan Timur dan Barat.

“Kami amat menitikberatkan pemilihan rona busana yang perlu sesuai dengan personaliti pemakai supaya gaya yang terhasil tidak kelihatan janggal.

“Selain busana yang direka khas untuk pengantin, kami turut mempunyai koleksi sedia ada dan boleh disewa yang semuanya dihasilkan dalam rekaan terkini,” ujarnya.

Mohd Rizal berkata, semua koleksinya tidak hanya tertumpu untuk busana pengantin perempuan kerana dia turut mempunyai koleksi buat pengantin lelaki.

“Saya akan cuba memenuhi cita rasa pelanggan termasuk dari segi rekaan dan rona namun pada masa sama memberi khidmat nasihat mengenai rekaan yang sesuai dengan mereka.

“Atas sebab nilai eksklusif dan rekaan terkini, semua tempahan dan sewaan busana bermula pada harga RM800 dan ke atas,” katanya.

KUALA LUMPUR 25 OKTOBER 2018. Koleksi busana pengantin Inderaloka. NSTP/EMAIL
KUALA LUMPUR 25 OKTOBER 2018. Koleksi busana pengantin Inderaloka. NSTP/EMAIL

Menurutnya, disebabkan setiap individu itu mempunyai bentuk badan dan personaliti berbeza, pihaknya menyediakan perkhidmatan rundingan bagi menentukan jenis busana yang sesuai dengan diri serta personaliti pelanggan.

“Saya dan pasukan akan sedaya upaya menghasilkan sepasang busana indah dan sesuai dengan mempelai kerana ia tidak dipakai pada hari biasa.

“Disamping itu, saya juga sering kali mengingatkan pelanggan supaya berasa selesa dengan diri sendiri tidak kiralah memiliki apa saja jenis bentuk tubuh kerana ia dapat menaikkan lagi seri pemakai terutama wanita pada hari bahagia mereka,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 5:01 AM