Zuliaty Zulkiffli


“SAYA sebak melihat semua barangan pelamin dan bunga hiasan pengantin yang siap ditempah untuk majlis perkahwinan pada musim cuti sekolah ini musnah.”

Begitu kata Abdul Malik Abdullah, 40, antara penyewa enam rumah yang musnah dalam kebakaran di Lorong Kenanga, Kampung Kubang Buaya, Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, Abdul Malik yang menyewa rumah itu sejak 10 tahun lalu sebagai butik pengantin, manakala lima rumah yang lain didiami penduduk.

Abdul Malik berkata, ketika kejadian dia berada di luar sebelum dihubungi rakannya yang ternampak kepulan asap tebal di kawasan berhampiran rumahnya.

“Saya rasa tak sedap hati lalu terus balik ke butik dan memang sah butik saya terbakar.

“Biasanya saya balik tidur di sini, kalau sibuk sebab cuti sekolah semakin hampir, malah tempahan meja pengantin untuk petang ini pun terpaksa minta bantuan rakan lain kerana semuanya musnah.

“Namun, saya reda kerana semua yang berlaku ada hikmah walaupun mengalami kerugian mencecah lebih RM30,000,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.

Katanya, walaupun mengusahakan butik pengantin secara sambilan kerana bekerja sebagai kakitangan awam, namun pendapatannya tetap terjejas.

Sementara itu, penyewa lain, Anisha Bakar, 55, berkata kereta Proton Iswara milik anaknya musnah dalam kebakaran walaupun dia sudah mencapai kunci kenderaan berkenaan.

Katanya, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum terdengar jeritan kuat anak jirannya yang juga warga Rohingya.

“Saya ternampak api marak di rumah jiran dan dalam keadaan panik saya hanya sempat mencapai kunci kereta lalu berlari ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, selain enam rumah musnah, kebakaran turut menyebabkan lima motosikal dan sebuah kereta Proton Iswara musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 5:15 PM
ABDUL Malik melihat barangan butik pengantin yang musnah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
ABDUL Malik melihat barangan butik pengantin yang musnah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI