MANIS menggayakan busana pada hari bahagia.
MANIS menggayakan busana pada hari bahagia.
Siti Nadirah Hafidzin

Menyarung sepasang busana indah pada hari bahagia bukan saja menaikkan seri wajah mempelai malah ia mampu mencipta kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan seumur hidup.

Begitu besarnya peranan sepasang busana pengantin kerana ia bukan semata-mata mengenai fesyen namun lebih kepada kenangan yang tercipta di sebalik pakaian digayakan.

Mungkin disebabkan itu, kebanyakan pasangan raja sehari bersikap agak cerewet dalam soal pemilihan busana terutama yang bakal digayakan ketika majlis pernikahan dan persandingan.

Menggabungkan perincian manik eksklusif dengan renda mewah dalam menghasilkan sepasang busana indah pengantin menjadi taruhan jenama fesyen pengantin, Inderaloka yang bertapak di Banting, Selangor.

Menurut pengasasnya Mohd Rizal Tosilan yang mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dalam industri fesyen, pihaknya sedia maklum mengenai permintaan dan kemahuan pasangan raja sehari yang sentiasa mahukan busana terkini yang tampak mewah dan selesa dipakai.

Menurutnya, busana pengantin tidak lari daripada permainan manik dan renda kerana ia seperti satu kewajipan yang perlu ada untuk menampilkan sisi mewah dan anggun tetapi tidak keterlaluan.

“Oleh itu, kami tidak ketinggalan menggunakan renda mewah dan manik eksklusif supaya semua koleksi busana pengantin ini memberikan kesan memukau.

“Kami juga banyak menghasilkan busana tradisional yang digabungkan dengan ciri moden seperti menggunakan renda bunga tiga dimensi,” katanya.

INDAH dan mewah.
INDAH dan mewah.

Menurutnya, pelanggan juga boleh memilih pelbagai koleksi busana indah sama ada gaun labuh, kurung moden atau peplum yang kebanyakannya dihasilkan dengan gabungan rekaan Timur dan Barat.

“Kami amat menitikberatkan pemilihan rona busana yang ia perlu sesuai dengan personaliti pemakai supaya gaya yang terhasil tidak kelihatan janggal.

“Selain busana yang direka khas untuk pengantin, kami turut mempunyai koleksi sedia ada yang boleh disewa pelanggan yang semuanya dihasilkan dalam rekaan terbaik serta terkini,” ujarnya.

Mohd Rizal berkata, semua koleksinya tidak hanya tertumpu untuk busana pengantin perempuan kerana dia turut mempunyai koleksi buat pengantin lelaki.

“Saya akan mengikut apa saja yang dimahukan pelanggan termasuk dari segi rekaan dan rona namun pada masa sama akan memberi khidmat nasihat mengenai rekaan yang sesuai dengan diri mereka.

“Atas sebab nilai eksklusif dan rekaan terkini, semua tempahan dan sewaan busana bermula pada harga RM800 dan ke atas,” katanya.

Katanya, disebabkan setiap individu itu mempunyai bentuk badan dan personaliti berbeza, pihaknya menyediakan pelbagai koleksi busana untuk memenuhi setiap kemahuan pelanggan.

“Saya dan pasukan akan sedaya upaya menghasilkan sepasang busana indah dan sesuai dengan pemakai kerana ia tidak dipakai pada hari biasa,” ujarnya.

TAMPIL mewah dan anggun tapi tidak keterlaluan.
TAMPIL mewah dan anggun tapi tidak keterlaluan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 7:30 AM