SKUAD bola baling lelaki negara meraikan kejayaan mereka selepas tamat perlawanan. FOTO SUKAN IPT
SKUAD bola baling lelaki negara meraikan kejayaan mereka selepas tamat perlawanan. FOTO SUKAN IPT
Daripada Syafiq Aznan di Surabaya


Surabaya: Skuad bola baling lelaki negara meraih pingat emas di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 selepas menundukkan Singapura 28-26 di Universitas Teknik 10 Nopember, sebentar tadi.

Lebih manis, skuad bimbingan Muhammad Khairul Hafidzin itu mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama dalam acara bola baling memandangkan acara ini baru pertama kali diperkenalkan pada edisi 2024 di Surabaya-Malang.

Aksi berlangsung dengan amat sengit di mana masing-masing terikat 12-12 sebelum Malaysia ketinggalan 15-12.

Kedua-dua pasukan saling berbalas gol sehingga terikat 19-19 dan pingat emas kian berada dalam genggaman Malaysia apabila mendahului 22-19 ketika saingan berbaki dua minit.

Singapura bagaimanapun enggan mengalah dan berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila mengikat kedudukan kepada 22-22.

Aksi masa tambahan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 25-25 sebelum Malaysia berjaya

menoktahkan kemenangan 28-26 untuk memaksa Singapura berpuas hati dengan pingat perak.

Kemenangan skuad bola baling itu menyaksikan kontinjen negara berjaya meraih dua pingat emas, hari ini.

Terdahulu, perenang negara, Low Zheng Yong menjadi penyumbang emas tunggal buat skuad renang pada hari kelima acara renang di AUG 2024.

Pada perlumbaan di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) Jawa Timur itu, penuntut Universiti UCSI menamatkan perlumbaan 1500meter (m) gaya bebas lelaki dengan catatan 16.40:87s sekali gus merangkul pingat emas kedua peribadinya pada temasya kali ini.

Zheng Yong sebelum ini membantu skuad renang negara meraih pingat emas dalam acara 4x200m lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 9:51 PM