PEMAIN West Ham United, Said Benrahma (kanan). FOTO AFP
PEMAIN West Ham United, Said Benrahma (kanan). FOTO AFP
AFP

London: Pemain sayap Algeria, Said Benrahma sah meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham United dan akan menyertai kelab Perancis, Lyon dengan bayaran yang tidak didedahkan.

Benrahma menghabiskan separuh musim secara pinjaman di Lyon dan berjaya meledak tiga gol dalam 12 penampilan di Ligue 1 itu.

Lyon membayar yuran pinjaman sebanyak 5.9 juta euro atau bersamaan RM25 juta dan dipercayai akan membayar hampir RM73 juta bagi mendapatkan khidmat Benrahma secara tetap.

Benrahma menyertai West Ham United dari Brentford pada 2020 dan menjaringkan 24 gol dalam 155 perlawanan untuk kelab Timur London itu.

Pemain berusia 28 tahun itu adalah sebahagian daripada kejayaan West Ham United memenangi Liga Europa pada 2023 lalu.

Dalam aksi final itu, dia meledak gol menerusi sepakan penalti ke atas Fiorentina untuk menghadiahkan kemenangan 2-1 buat West Ham United sekali gus memastikan trofi pertama kelab itu sejak 1980.

"Semua orang di West Ham United ingin mengucapkan terima kasih kepada Benrahma atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuknya di masa depan," kata kenyataan West Ham.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 9:29 PM