SITI Faseha dan suami, Hafiz. FOTO ihsan Siti Faseha Zainudin
SITI Faseha dan suami, Hafiz. FOTO ihsan Siti Faseha Zainudin
Samadi Ahmad


Dengkil: Hasrat pasangan pengantin baharu, Siti Faseha Zainudin ,31, dan suami, Hafiz Keliwon, 30, untuk bersanding pada 18 Disember lalu terpaksa dilupakan selepas rumah keluarga mereka di Kampung Chemperai, di sini, dilanda banjir.

Faseha berkata, segala persiapan untuk majlis persandingan itu musnah selepas ditenggelami air dengan kerugian melebihi RM30,000.

Menurutnya, perasaan sedih tidak dapat digambarkan kerana itu majlis persandingan di pihak sebelah dirinya dan tidak menyangka kejadian ini berlaku dengan sekelip mata.

Katanya, pada pagi kejadian dia dan Hafiz dinikahkan di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil pada 10 pagi dan selepas selesai kira-kira 10.30 pagi, dia pulang ke rumah manakala suami bersama ahli keluarga dari Muar, Johor berada di masjid sebelum rombongan pengantin lelaki berkunjung ke rumah pada tengah hari.

"Ketika pulang ke rumah, air sudah mula naik setengah meter dan pada masa sama saya turut maklumkan kepada suami kediaman sudah mula dinaiki air.

"Segala persiapan sudah dilakukan dan hanya tinggal untuk menerima tetamu dan majlis bersanding.

"Selepas dimaklumkan, suami datang meredah banjir sendirian dan rombongan pengantin lelaki menunggu di masjid kerana ketika itu air naik semakin tinggi.

"Saya sedih dan terkilan kerana rakan-rakan dan saudara mara tidak dapat datang meraikan hari bahagia kami tetapi apa boleh buat, saya reda dan anggap ini sebagai ketentuan Allah," katanya.

Menurutnya, semua makanan yang disediakan pihak katering dibungkus untuk diagihkan kepada jiran dan masjid kerana tetamu tidak boleh datang selepas jalan dan kediaman dinaiki air.

Faseha berkata, majlis persandingan pada hari itu terpaksa ditangguhkan dan jurugambar mencadangkan mereka mengambil gambar dalam suasana banjir bagi merakam kenangan.

Katanya, dia dan suami reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ia ujian bagi mereka berdua dan berharap dapat meraikan persandingan dengan meriah di sebelah keluarga suami pada Mac tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 4:45 PM