YUKI Tsunoda melayan peminatnya. FOTO AFP
YUKI Tsunoda melayan peminatnya. FOTO AFP
Agensi

Spielberg bei Knittelfeld: Yuki Tsunoda dihukum oleh FIA kerana menggunakan kata-kata yang sangat menyakitkan hati semasa sesi kelayakan Formula Satu.

Grand Prix Austria akan berlangsung hari ini ketika musim Formula Satu menuju ke pusingan ke-11 pada tahun ini.

Menjelang perlumbaan, sesi kelayakan untuk menentukan tempat permulaan setiap pemandu berlangsung selepas perlumbaan pecut semalam, yang dimenangi oleh Max Verstappen dari Red Bull.

Semasa sesi itu, pemandu Racing Bull, Yuki Tsunoda menggunakan bahasa berbentuk cemuhan terhadap pemandu Sauber, Zhou Guanyu.

Tsunoda sedang memandu keluar dari lorong pit untuk melengkapkan pusingan kelayakan, tetapi mendakwa dihalang oleh pemandu China itu, yang kemudian mencetuskan kemarahannya.

Pemandu berusia 24 tahun itu segera dipanggil oleh stewards perlumbaan, yang kemudian mengenakan denda 40,000 euro (RM202,000) kepada pemandu Jepun itu kerana mengeluarkan komen menyinggung perasaan.

FIA mengeluarkan kenyataan yang mengatakan: "Semasa sesi pendengaran, pemandu itu memohon maaf.

"Dia menyatakan pemahamannya mengenai perkataan-perkataan itu berbeza, tetapi mengakui bahawa ia tidak boleh dijadikan alasan untuk apa yang dia lakukan.

"Stewards menghargai kejujuran pemandu itu tetapi menegaskan bahawa perkataan yang digunakan adalah menyinggung perasaan dan sama sekali tidak sesuai."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 8:24 PM