PELUMBA Ducati, Francesco Bagnaia juarai MotoGP Belanda. FOTO Agensi
PELUMBA Ducati, Francesco Bagnaia juarai MotoGP Belanda. FOTO Agensi
AFP

Assen, Belanda: Francesco Bagnaia memenangi Grand Prix (GP) Belanda yang juga kemenangan ketiga berturut-turut di litar Assen, dengan kali ini dia mengatasi pendahulu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2024, Jorge Martin.

Bagnaia memenangi perlumbaan di Assen pada 2022 dan 2023 dan pencapaiannya itu menjadikannya sebagai pelumba Itali pertama yang melakar kejayaan berturut-turut sejak kali terakhir dilakukan Valentino Rossi pada 2004-2005.

Malah, kejayaan pelumba Ducati itu dianggap manis selepas meraih kemenangan berturut-turut di Catalunya dan di litar halaman sendiri Mugello sebelum ini untuk mendekatkan diri dengan Martin.

Kemenangan Bagnaia itu menyaksikan pelumba dari Turin itu mengurangkan lagi pendahuluan Martin kepada 10 mata dalam usahanya memburu gelaran dunia ketiga berturut-turut.

Dalam saingan itu, Bagnaia memimpin perlumbaan sejak awal dan aksi konsistennya menyebabkan Martin sukar untuk memotong pesaingnya itu.

"Ia luar biasa. Saya bermula baik dari awal biarpun ada sedikit masalah pada tayar belakang. Tetapi pusingan demi pusingan saya bertambah baik," kata Bagnaia.

"Kami sangat pantas, sangat pantas...saya sangat berpuas hati," kata Bagnaia selepas perlumbaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 9:51 PM