Nurul Huda Kosnon


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan awal dengan memasang kanvas pada kawasan rekahan di tembok penahan konkrit di Jalan 11/55C, Puncak Setiawangsa, Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur, susulan laporan MyMetro, malam semalam.

Tinjauan mendapati kawasan rekahan itu ditutup dengan menggunakan kanvas kira-kira 9 pagi, hari ini.

Penduduk, Yunifitriana Burnumo, 30, berkata, keadaan cerun yang merekah itu amat membimbangkan terutama penghuni perumahan yang terletak di atas bukit.

"Keadaan itu membimbangkan terutama apabila musim hujan. Kawasan ini kelihatan sunyi namun hakikatnya ia membabitkan ratusan nyawa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku di kawasan itu pada 2012.

"Saya dapati kawasan rekahan itu sudah ditutup menggunakan kanvas oleh DBKL, 9 pagi tadi.

“Sebelum ini mereka melakukan pemeriksaan dan pemantauan sebelum menutup kawasan berkenaan dengan kanvas. Saya sangat berharap agar pihak berkuasa memandang kejadian seperti ini secara lebih serius dalam memastikan keselamatan penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Shahir Merza Safri, 26, berkata, dia bimbang akan berlaku kejadian tidak diingini berikutan kediamannya terletak kira-kira 10 meter daripada kawasan rekahan.

"Beberapa minggu lalu ketika saya melalui kawasan itu, tiba-tiba ada tanah jatuh ke bahu jalan.

“Kebimbangan seperti ini sudah dirasai kira-kira sebulan lalu apabila mendapati terdapat rekahan pada tebing jalan.

"Saya harap pihak berkuasa ambil tindakan sewajarnya terutama bagi mengelak insiden lima tahun lalu kembali berulang," katanya yang juga pekerja swasta di ibu negara.

Pada Disember 2012, kejadian tanah runtuh berlaku menyebabkan penduduk terputus hubungan termasuk laluan utama ke Puncak Setiawangsa.

Tiga banglo terpaksa dirobohkan termasuk milik Allahyarham Datuk Seri Jamaluddin Jarjis untuk memberi laluan pembinaan zon penampan.

Berita berkaitan:

Rekahan membimbangkan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 10:03 PM
Laporan MyMetro malam semalam. (Gambar kecil)  Yunifitriana dan Mohd Shahir. FOTO Ezairi Shamsudin
Laporan MyMetro malam semalam. (Gambar kecil) Yunifitriana dan Mohd Shahir. FOTO Ezairi Shamsudin