ANGGOTA bomba mengalihkan pokok tumbang di lokasi kejadian. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengalihkan pokok tumbang di lokasi kejadian. FOTO ihsan bomba
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Dua keluarga mangsa tanah runtuh di Jalan 1/27D, Seksyen 6, Wangsa Maju, di sini sudah mengosongkan kediaman manakala tiga lagi kekal di rumah masing-masing.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, khemah sementara turut didirikan bagi pemantauan secara 24 jam di tapak lokasi kejadian oleh pihaknya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Sebanyak lima rumah terkesan ekoran kejadian tanah runtuh di tanah persendirian dekat Jalan 1/27D, Seksyen 6, Wangsa Maju.

"Ia membabitkan 28 orang daripada lima keluarga.

"Anggota penyelamat daripada jabatan penguatkuasaan bergegas ke tempat kejadian bersama Pejabat Cawangan Setiawangsa DBKL, Majlis Perwakilan Penduduk Setiawangsa, PDRM, bomba dan APM memberikan bantuan awal kepada rumah terkesan," katanya.

Terdahulu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima dua laporan tanah runtuh di Taman Gembira dan Seksyen 6, Wangsa Maju, di sini.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dan tiada rumah dilaporkan rosak dalam kejadian di Taman Gembira itu.

Panggilan kecemasan berhubung kejadian tanah runtuh itu diterima 4.40 petang semalam sebelum tindakan membawa keluar penghuni dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 10:34 AM