Mazizul Dani


KIRA-kira 700 rumah berisiko terjejas sekiranya kejadian tanah runtuh di Bukit Setiawangsa pada Disember 2012 berulang.

Presiden Persatuan Penduduk Bukit Setiawangsa, Ahmad Shukri Abdul Shukor, 55, berkata, rekahan itu disedari penduduk tiga minggu lalu sebelum melaporkannya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Penduduk menyedari berlakunya rekahan di kawasan itu dan kemudian memaklumkan kepada saya.

"Mereka kemudian membuat laporan kepada pihak DBKL untuk tindakan susulan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ahmad Shukri berkata, DBKL memberitahu yang kerja siasatan tapak sudah dilakukan.

"Dalam masa sama, penduduk mempersoalkan mengapa tindakan lambat diambil kerana peristiwa lima tahun lalu benar-benar menghantui kami," katanya yang menetap di kawasan itu sejak 1994.

Ahmad Shukri berkata, penduduk berdepan kesukaran dalam kejadian sebelum ini kerana laluan terpaksa dilencongkan dan ada yang terpaksa berpindah.

"Saya berharap, penduduk dapat dimaklumkan mengenai perkembangan kejadian ini supaya tidak timbul keresahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 10:35 PM