Suasana di Jalan Silang.
Suasana di Jalan Silang.
Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Tahap Kebersihan di beberapa lokasi di ibu kota terutama di Jalan Silang dan Jalan Sultan Mohamed, di sini, semakin memuaskan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Abd Aziz berkata, selain melarang warga asing menjalankan perniagaan termasuk menjual sireh di kawasan itu, pihaknya turut memantau dan memastikan tiada lagi meja yang digunakan untuk berniaga diletakkan di situ.

"Saya bersama anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meninjau lokasi terbabit, baru-baru ini dan kita dapati tahap kebersihan semakin memuaskan.

"Pihak kami giat menjalankan operasi pembersihan terutama di sekitar Jalan Silang dan Jalan Sultan Mohamed bagi meningkatkan tahap kebersihan berikutan lokasi itu turut menjadi tumpuan orang ramai.

"Operasi pembersihan dilakukan dengan kerjasama bantuan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora)," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan menerusi Program Ceria ke Sekolah di Stadium Titiwangsa, petang tadi.

Beliau berkata, DBKL terus meningkatkan operasi pembersihan terutama di dua kawasan itu pada setiap minggu dan akan terus mengenakan kompaun RM50 kepada mana-mana kesalahan membuang sampah serta RM100 untuk kesalahan meludah.

"Pihak kami memandang serius perkara itu terutama golongan warga asing di kawasan berkenaan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di Jalan Silang mendapati orang ramai membuang sampah di tempat disediakan manakala tiada lagi penjual sireh dalam kalangan warga asing serta pihak tidak bertanggungjawab yang meludah di tempat awam di kawasan itu.

Terdahulu, DBKL mengambil tindakan tegas terhadap sikap tidak bertanggungjawab warga asing dan tempatan yang membuang sampah serta meludah di tempat awam, menerusi operasi 'Anti Kotor'.

Dari Januari hingga 31 Oktober tahun ini, DBKL mengeluarkan 1,030 notis kompaun berjumlah RM87,100 bagi kesalahan membuang sampah dan 1,247 notis kompaun bagi kesalahan meludah di tempat awam berjumlah RM61,750.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 12:10 AM