NOR Hisham melawat lokasi ribut di Air Panas Setapak. FOTO ihsan Datuk Bandar Kuala Lumpur
NOR Hisham melawat lokasi ribut di Air Panas Setapak. FOTO ihsan Datuk Bandar Kuala Lumpur
Yusmizal Dolah Aling


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan kerja pembersihan pokok tumbang di 41 lokasi di ibu negara.

ENAM pasukan dengan kekuatan 30 anggota digerakkan ke semua lokasi malam tadi selepas mendapat aduan daripada orang awam berhubung kejadian ribut yang melanda kawasan mereka.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, antara kawasan terjejas yang dikenal pasti termasuk Jalan Raja Laut bersebelahan Sogo, Jalan 1A/6 Uptown Danau Kota, Jalan Bukit Setiawangsa, Jalan Kasipila dan Jalan Chengal Taman Setapak.

"Skuad Kecemasan DBKL sedang bertungkus lukus membersihkan lokasi pokok tumbang untuk kemudahan orang ramai," katanya.

Beliau turut melawat lokasi di Air Panas Setapak bagi meninjau keadaan semasa.

Semalam, beberapa lokasi di ibu negara dilanda ribut mengakibatkan pokok tumbang dan kerosakan harta benda termasuk kenderaan milik penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 11:19 AM