Rekahan di tebing Jalan 11/55C, Puncak Setiawangsa, Bukit Setiawangsa. FOTO Mazizul Dani
Rekahan di tebing Jalan 11/55C, Puncak Setiawangsa, Bukit Setiawangsa. FOTO Mazizul Dani
Mazizul Dani

BERLAKU rekahan di tebing Jalan 11/55C, Puncak Setiawangsa, Bukit Setiawangsa, iaitu lokasi sama berlakunya kejadian tanah runtuh hampir lima tahun lalu.

Tinjauan Harian Metro jam 12.30 tengah malam tadi mendapati, rekahan kira-kira lebih setengah meter berlaku di dua bahagian.

Gelinciran tanah boleh dilihat di dua bahagian itu iaitu pada zon penampan satu daripada lima zon penampan yang dibina untuk menyokong bukit setinggi lebih 50 meter.

Menurut pengawal keselamatan di Bukit Setiawangsa yang enggan dikenali, dia ada melihat pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat pemantauan di situ sebelum ini.

"Ada mereka periksa lebih kurang sebulan lalu menggunakan dron. Tapi buat masa ini, tiada apa-apa maklumat lagi.

"Kalau betul ada runtuhan, pihak berkaitan perlu datang periksa, takut kejadian sama berulang," katanya.

Untuk rekod, kejadian tanah runtuh di kawasan itu pada Disember 2012 menyebabkan penduduk di sekitar kawasan berkenaan terputus hubungan.

Tiga banglo terpaksa dirobohkan termasuk milik Allahyarham Datuk Seri Jamaluddin Jarjis untuk memberi laluan pembinaan zon penampan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 2:14 AM