NETANYAHU, gambar fail. FOTO AFP
NETANYAHU, gambar fail. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pada Ahad bahawa pertempuran sengit melawan pejuang Hamas di bandar Rafah di selatan Gaza hampir berakhir.

"Fasa sengit pertempuran melawan Hamas hampir berakhir," katanya dalam satu wawancara dengan saluran pro-Netanyahu, Channel 14.

"Ia tidak bermakna perang akan berakhir, tetapi perang dalam fasa sengitnya hampir berakhir di Rafah," katanya.

"Selepas fasa sengit berakhir, kita akan dapat menggerakkan semula sebahagian pasukan (tentera) ke utara dan kita akan lakukan itu. Keutamaan untuk tujuan pertahanan, dalam pada itu ia juga untuk membawa penduduk yang dipindahkan kembali ke rumah," kata Netanyahu dalam temu wawancara pertamanya dengan rangkaian penyiaran Israel itu sejak perang dengan Hamas bermula pada 7 Oktober tahun lalu.

Netanyahu berkata, beliau tidak akan bersetuju dengan sebarang perjanjian yang menetapkan berakhirnya perang di Gaza, sekali gus menunjukkan beliau terbuka kepada perjanjian 'separa' yang akan memudahkan kepulangan beberapa tebusan yang masih ditahan di Gaza, jika tidak semua.

"Matlamatnya adalah untuk mengembalikan mereka yang diculik dan menghapuskan Hamas di Gaza," katanya.

Amerika Syarikat meragui matlamat Israel untuk menghapuskan Hamas sepenuhnya dan pada Rabu jurucakap tertinggi tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata, "untuk mengatakan bahawa kami akan menghapuskan Hamas adalah seperti menabur pasir ke mata orang."

Dia berkata, Hamas adalah satu ideologi dan "kita tidak boleh menghapuskan satu ideologi."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 11:27 AM