WANITA dan kanak-kanak Palestin melarikan diri dari Rafah susulan operasi ketenteraan Israel di kawasan berkenaan. FOTO AFP
WANITA dan kanak-kanak Palestin melarikan diri dari Rafah susulan operasi ketenteraan Israel di kawasan berkenaan. FOTO AFP
AFP

Gaza: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan tidak wujud krisis kemanusiaan di Rafah.

Beliau mengumumkan hampir 500,000 orang sudah dipindahkan dari bandar selatan Gaza, di tengah-tengah pertempuran sengit.

"Usaha bertanggungjawab kami membuahkan hasil. Setakat ini, di Rafah, hampir setengah juta orang sudah dipindahkan dari zon tempur. Krisis kemanusiaan yang diperkatakan tidak menjadi kenyataan," katanya.

Ia berlaku ketika rakyat Palestin memperingati ulang tahun ke-76 Nakba apabila kira-kira 760,000 rakyat Palestin melarikan diri atau dihalau dari rumah mereka semasa penciptaan negara Israel pada masa perang 1948.

Tentera Israel bertempur dan mengebom pejuang Hamas di sekitar bandar Rafah di selatan Gaza, tetapi pertempuran juga berlaku lagi di kawasan utara dan tengah yang pertama kali dimasuki oleh tentera Israel beberapa bulan lalu.

Peningkatan dalam pertempuran bandar di Gaza yang dikepung mencetuskan amaran Amerika Syarikat (AS) bahawa Israel berisiko terperangkap dalam operasi menentang pemberontakan selama bertahun-tahun.

Tetapi di sebalik ancaman sebelum ini oleh Presiden AS Joe Biden untuk menahan beberapa penghantaran senjata kerana desakan Netanyahu untuk menyerang Rafah, pentadbirannya memaklumkan Kongres pada Selasa lalu mengenai pakej senjata baharu AS$1 bilion (kira-kira RM4.7 bilion) untuk Israel.

Kesatuan Eropah menggesa Israel untuk menamatkan operasi ketenteraannya di Rafah segera, memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian tidak dapat tidak akan memberi tekanan berat kepada hubungan dengan blok itu.

Dalam perkembangan lain, sekumpulan keluarga kelihatan membawa barang-barang mereka melalui runtuhan bangunan akibat perang membangkitkan banyak peristiwa Nakba 1948 yang diterjemahkan dari Bahasa Arab sebagai malapetaka.

Hamas mengisytiharkan dalam kenyataan Hari Nakba bahawa penderitaan berterusan berjuta-juta pelarian di dalam Palestin dan di diaspora secara langsung dikaitkan dengan pendudukan Zionis.

Kumpulan itu berkata, hak sah mereka untuk kembali ke rumah mereka dari mana mereka dipindahkan tidak boleh dikompromi atau dilepaskan.

Seorang lelaki Gaza yang kehilangan tempat tinggal, Mohammed al-Farra, yang keluarganya melarikan diri dari rumah mereka di Khan Younis ke kawasan pantai Al-Mawasi berkata, Nakba (ini) adalah yang paling teruk pernah berlaku.

"Ia jauh lebih sukar daripada Nakba 1948," katanya.

Beribu-ribu orang berarak untuk menandakan hari itu di bandar-bandar di seluruh Tebing Barat yang diduduki Israel, mengibarkan bendera Palestin, memakai selendang keffiyeh dan memegang kunci simbolik sebagai peringatan rumah keluarga yang sudah lama hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 11:09 AM