GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
AFP

Paris: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar stesen televisyen terkemuka Perancis, semalam bagi membantah siaran wawancara dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengenai perang Gaza.

Dengan memakai selendang keffiyeh hitam dan putih serta mengibarkan bendera Palestin, penunjuk perasaan berkumpul secara aman di luar pejabat TF1 di pinggir bandar barat Paris, sambil dipantau polis.

Penunjuk perasaan itu melaungkan 'Gaza, Paris bersama anda', 'Gencatan senjata segera' dan 'Israel, pembunuh'.

Anggota parlimen parti sayap kiri Perancis, France Unbowed menggesa demonstrasi dilakukan sebaik mendapat maklumat mengenai penganjuran wawancara itu.

Dalam wawancara yang disiarkan di saluran berita LCI, Netanyahu mempertahankan serangan dilakukan negaranya ke atas Gaza.

Netanyahu memberitahu LCI, "jumlah kehilangan orang awam berbanding pejuang (Palestin) pada kadar terendah yang pernah kita saksikan dalam perang moden."

Beliau juga menolak dakwaan bahawa Israel menyasarkan orang awam atau sengaja menyebabkan kebuluran, dengan menyifatkannya sebagai fitnah anti-Semitic.

Wawancara itu dilaksana di tengah kemarahan antarabangsa terhadap serangan Israel yangmengakibatkan kebakaran di kem pemindahan di bandar Rafah, Ahad lalu yang mengorbankan 45 orang.

Perang Gaza meletus selepas serangan Hamas ke atas Israel, 7 Oktober tahun lalu yang mengorbankan 1,189 orang, menurut angka rasmi Israel dan menawan 252 tebusan dengan 121 orang masih berada di Gaza termasuk 37 tentera yang dikatakan sudah mati.

Israel kemudian melakukan serangan balas, yang membunuh sekurang-kurangnya 36,224 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian Kesihatan Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 12:13 PM