KANAK-KANAK lelaki berdiri di runtuhan bangunan di Nuseirat, tengah Gaza. FOTO AFP
KANAK-KANAK lelaki berdiri di runtuhan bangunan di Nuseirat, tengah Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Israel pada Khamis sekali lagi melancarkan serangan udara di Gaza.

Pada masa sama, rejim itu turut menyatakan kesediaan menyambung semula rundingan yang terhenti mengenai gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan dengan Hamas untuk menghentikan perang sejak 7 Oktober.

Agensi pertahanan awam Semenanjung Gaza berkata, dua serangan udara sebelum Subuh semalam, membunuh 26 mangsa termasuk 15 kanak-kanak di Bandar Gaza.

Jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal berkata, satu serangan melanda sebuah rumah keluarga, membunuh 16 orang, di kawasan Al-Daraj, dan satu lagi serangan membunuh 10 orang di dalam kawasan masjid. Pihak Israel belum memberi sebarang komen.

Di darat, pertempuran sengit juga berlaku di Jabalia dan Rafah, di mana sayap bersenjata Hamas dan sekutunya, Jihad Islam berkata, mereka melepaskan tembakan mortar ke arah tentera Israel.

Tekanan antarabangsa untuk gencatan senjata semakin meningkat ke atas Israel dan Perdana Menterinya Benjamin Netanyahu apabila tiga negara Eropah pada Rabu berkata, mereka akan mengiktiraf kenegaraan Palestin.

Minggu ini juga bermula dengan pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mahu mendapatkan waran tangkap atas tuduhan jenayah perang terhadap Netanyahu dan menteri pertahanannya serta tiga pemimpin Hamas.

Israel dengan marah menolak tindakan itu, menyuarakan "kejijikan" terhadap permintaan ICC dan melabelkan sebarang pengiktirafan kenegaraan Palestin sebagai "ganjaran untuk keganasan".

Pegawai kanan Kementerian Luar Israel, Jacob Blitstein memberitahu utusan Ireland, Norway dan Sepanyol pada Khamis bahawa, akan ada "akibat serius" untuk hubungan negara terbabit dengan Israel selepas mereka mengiktiraf negara Palestin.

Tekanan domestik di pihak Israel juga meningkat apabila penyokong tebusan yang terperangkap di Gaza sekali lagi berhimpun di luar pejabat Netanyahu, dengan penuh semangat menuntut perjanjian untuk membawa tebusan pulang.

Pusingan rundingan gencatan senjata sebelum ini, membabitkan pengantara Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar, berakhir sejurus selepas Israel melancarkan serangannya ke atas bandar Rafah di selatan Gaza, awal bulan ini.

Israel meneruskan serangan ke atas bandar terakhir di Gaza tanpa mempedulikan bantahan global, termasuk dari sekutu tertingginya AS.

Sejak itu, Israel sudah mengarahkan pemindahan besar-besaran dari Rafah, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih 800,000 orang melarikan diri dari kawasan itu..

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 11:25 AM