SEORANG lelaki menolak troli sambil melewati ibu pejabat UNRWA di Bandaraya Gaza pada Ahad. FOTO AFP
SEORANG lelaki menolak troli sambil melewati ibu pejabat UNRWA di Bandaraya Gaza pada Ahad. FOTO AFP
Reuters

Kaherah: Lapan rakyat Palestin terbunuh pada Ahad dalam serangan udara Israel ke atas sebuah kolej latihan berhampiran Bandaraya Gaza yang digunakan untuk mengedarkan bantuan, kata saksi Palestin, ketika kereta kebal Israel terus mara ke bandar selatan Rafah.

Serangan itu mengenai sebahagian daripada kolej vokasional dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) yang menyediakan bantuan kepada keluarga terjejas akibat peperangan, kata saksi.

"Sesetengah orang datang untuk menerima kupon dan yang lain dipindahkan dari rumah mereka dan berlindung di sini. Ada yang mengisi air, yang lain menerima kupon tiba-tiba kami mendengar sesuatu jatuh. Kami lari, mereka yang membawa air membiarkannya tumpah," kata Mohammed Tafesh, salah seorang saksi.

Jurugambar Reuters melihat sebuah bangunan rendah yang musnah sepenuhnya dan mayat yang dibalut dengan selimut diletak di tepi jalan, menunggu untuk dibawa keluar dari lokasi itu.

"Kami mengeluarkan syuhada (dari bawah runtuhan), seorang menjual minuman sejuk dan seorang lagi menjual pastri dan yang lain mengedarkan atau menerima kupon," kata Tafesh.

"Ada kira-kira empat atau lima syahid dan 10 cedera. Alhamdulillah, keadaan yang cedera baik."

Tentera Israel berkata, tapak terbabit yang dikatakan sebelum ini berfungsi sebagai ibu pejabat UNRWA digunakan oleh Hamas dan pejuang Islam.

Ia menambah, langkah berjaga-jaga sudah diambil sebelum serangan untuk mengurangkan risiko mencederakan orang awam.

Hamas menafikan tuduhan Israel bahawa mereka menggunakan orang awam sebagai perisai manusia atau kemudahan awam untuk tujuan ketenteraan.

Juliette Touma, pengarah komunikasi UNRWA, berkata agensi itu sedang meneliti butiran serangan yang dilaporkan sebelum memberikan maklumat lanjut.

"Sejak awal perang, kami merekodkan hampir 190 bangunan kami terkena serangan. Ini adalah sebahagian besar bangunan kami di Gaza," katanya.

Seramai 193 ahli UNRWA terbunuh dalam konflik ini, tambahnya.

Selepas tengah malam, serangan udara Israel mengenai sebuah klinik di Bandaraya Gaza, membunuh pengarah perkhidmatan ambulans dan kecemasan di Kementerian Kesihatan wilayah itu, Hani Al-Jaafarwi, dan seorang kakitangan perubatan lain, kata media Hamas. Tiada kenyataan balas segera dari Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 11:04 AM