ISRAEL mengeluarkan gambar menunjukkan apa yang didakwa terowong di bawah bangunan UNRWA. FOTO AFP
ISRAEL mengeluarkan gambar menunjukkan apa yang didakwa terowong di bawah bangunan UNRWA. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel mendakwa pada Sabtu bahawa mereka menemukan terowong Hamas di bawah ibu pejabat Bandar Gaza agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA).

UNRWA dalam maklum balasnya bagaimanapun berkata, ia tidak beroperasi dari tempat itu sejak 12 Oktober - lima hari selepas pejuang Hamas menyerang selatan Israel - dan menggesa siasatan bebas dijalankan.

Hamas sebelum ini menafikan dakwaan Israel bahawa ia menggali rangkaian terowong yang luas di bawah sekolah, hospital dan infrastruktur awam lain sebagai perlindungan untuk aktivitinya.

UNRWA sudah memecat beberapa kakitangan, bulan lalu, berikutan dakwaan Israel bahawa mereka mengambil bahagian dalam serangan maut 7 Oktober oleh Hamas.

Tentera dan agensi keselamatan Shin Bet berkata, operasi di Bandar Gaza dalam beberapa minggu kebelakangan ini membawa kepada penemuan "syaf terowong" berhampiran sekolah yang dikendalikan oleh agensi kemanusiaan itu.

"Syaf itu membawa kepada terowong bawah tanah yang berfungsi sebagai aset penting perisikan tentera Hamas dan melepasi di bawah bangunan yang berfungsi sebagai ibu pejabat utama UNRWA di Semenanjung Gaza," tambah mereka dalam satu kenyataan.

"Infrastruktur elektrik" di dalam terowong - 700 meter panjang dan 18 meter di bawah tanah - "disambungkan" ke ibu pejabat agensi itu, "menunjukkan bahawa kemudahan UNRWA membekalkan terowong itu dengan elektrik", dakwa tentera.

Dokumen dan simpanan senjata di perkarangan PBB itu sendiri "mengesahkan bahawa pejabat itu sebenarnya juga digunakan oleh Hamas", dakwa kenyataan bersama itu.

UNRWA berkata, kakitangannya terpaksa meninggalkan pekarangan Bandar Gaza di bawah arahan tentera Israel ketika pengeboman semakin sengit di kawasan itu.

"Kami tidak menggunakan kawasan itu sejak kami meninggalkannya dan kami tidak mengetahui sebarang aktiviti yang mungkin berlaku di sana," tambahnya.

Kawasan itu kali terakhir diperiksa pada September 2023, kata satu kenyataan.

Sebarang aktiviti mencurigakan yang ditemukan berhampiran atau di bawah mana-mana premis UNRWA sebelum ini dilaporkan kepada pihak berkuasa di Gaza yang dikawal Hamas dan Israel, dan juga didedahkan kepada umum,

tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 9:11 AM