PENDUDUK Palestin memeriksa lokasi serangan Israel di sekolah kendalian UNRWA di tengah Gaza. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin memeriksa lokasi serangan Israel di sekolah kendalian UNRWA di tengah Gaza. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Sebuah hospital di Gaza berkata, sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, yang didakwa tentera Israel menempatkan "kawasan Hamas."

Serbuan itu dilakukan selepas pengantara Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir menyambung semula rundingan yang bertujuan untuk mendapatkan gencatan senjata dan pertukaran tebusan dalam perang lapan bulan yang dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel.

Tentera Israel berkata, ia "menghapuskan" beberapa "militan" dalam "serangan tepat ke atas perkarangan Hamas di dalam sekolah UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat) di kawasan Nuseirat di tengah Gaza.

Jurucakap tentera, Laksamana Muda Daniel Hagari kemudian berkata, sembilan "pengganas" terbunuh apabila jet pejuang menyerang tiga bilik darjah di mana kira-kira 30 pejuang Jihad Islam dan Hamas bersembunyi.

AS menyeru Israel untuk "sepenuhnya" telus mengenai serangan itu.

"Kerajaan Israel berkata bahawa mereka akan mengeluarkan lebih banyak maklumat mengenai serangan ini, termasuk nama mereka yang terkorban di dalamnya. Kami menjangkakan mereka telus sepenuhnya dalam membuat maklumat itu kepada umum," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller kepada pemberita.

Ketua PBB Antonio Guterres menyifatkan serangan itu "hanya satu lagi contoh mengerikan mengenai 'harga' yang dibayar orang awam."

"Perlu ada akauntabiliti untuk semua yang berlaku di Gaza," kata jurucakapnya, Stephane Dujarric.

Ketua dasar luar EU, Josep Borrell menggesa serangan itu "disiasat secara bebas."

Israel menuduh Hamas dan sekutunya di Gaza menggunakan sekolah, hospital dan infrastruktur awam lain termasuk kemudahan yang dikendalikan oleh UNRWA, agensi PBB untuk pelarian Palestin, sebagai pusat operasi – tuduhan yang dinafikan pejuang.

Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir al-Balah, dekat Nuseirat berkata, ia menerima mayat sekurang-kurangnya "37 syuhada" susulan serangan itu.

Faisal Thari, pelarian Gaza yang mencari perlindungan di sekolah itu, memberitahu AFP: "Kenapa? Apa yang telah kita lakukan untuk mereka mengebom kita?"

Hamas dalam satu kenyataan mengecam "jenayah baharu... terhadap rakyat kita."

Seorang doktor berkata, satu lagi serangan pra-Subuh oleh Israel membunuh enam orang di sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat, dan saksi melaporkan tembakan sengit di kem Bureij dan Al-Maghazi di kawasan sama.

Pesawat perang Israel juga melakukan serangan di bahagian Rafah, sumber di bandar paling selatan Gaza memberitahu AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 8:57 AM