KOMPLEKS pejabat UNRWA di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat. FOTO Reuters
KOMPLEKS pejabat UNRWA di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Tiada mana-mana organisasi boleh menggantikan keupayaan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengendalikan isu di Gaza, Palestin.

Koordinator PBB Sigrid Kaag berkata, tiada cara mana-mana organisasi boleh menggantikan keupayaan luar biasa UNRWA.

"Keupayaan dan pengetahuan mereka tentang penduduk di Gaza," katanya.

UNRWA berkata, pihaknya bertindak segera berhubung dakwaan Israel mengenai 12 kakitangannya terbabit dalam serangan Hamas.

Katanya, pemotongan dana hanya akan menjejaskan orang awam Palestin.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matthew Miller berkata, AS menjadi penderma terbesar agensi itu sejak Oktober lalu.

Beliau berkata, pihaknya sangat menyokong usaha UNRWA.

"Tiada agensi kemanusiaan lain di Gaza yang boleh menyediakan makanan dan air serta ubat-ubatan pada skala sepertimana yang UNRWA lakukan.

"Kami mahu melihat kerja itu diteruskan, itulah sebabnya sangat penting bagi PBB mengambil serius perkara ini, mereka menyiasat terdapat akauntabiliti bagi sesiapa sahaja yang didapati terbabit dalam salah laku," katanya.

Agensi PBB itu sudah lama dipantau Israel, yang menuduhnya secara sistematik bertentangan dengan kepentingan negara.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Jepun, menggantung pembiayaan kepada agensi UNRWA.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres bersedia bertemu negara-negara penderma.

Pertelingkahan semakin memuncak selepas Israel menuduh UNRWA membenarkan Hamas menggunakan infrastruktur agensi di Gaza untuk aktiviti ketenteraan.

Israel berikrar menghentikan operasi agensi itu di Gaza selepas perang.

Ancaman mereka itu semakin memuncak apabila jurucakap kerajaan Eylon Levy mendakwa, UNRWA pada dasarnya dikompromi.

Levy menuduh UNRWA mengupah pengganas secara besar-besaran, membiarkan infrastrukturnya digunakan untuk aktiviti ketenteraan Hamas dan bergantung kepada Hamas untuk pengagihan bantuan di Semenanjung Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 2:19 PM