LETUPAN di Gaza ketika serangan Israel pada 8 Oktober. FOTO AFP
LETUPAN di Gaza ketika serangan Israel pada 8 Oktober. FOTO AFP
Reuters

Gaza: Semenanjung Gaza mengalami hari paling teruk dalam tempoh 15 tahun susulan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh Hamas ke Israel, dengan serangan udara Israel membunuh hampir 300 rakyat Palestin dalam masa 24 jam, menurut pegawai Palestin.

Mangsa yang maut termasuk kembar berusia tiga bulan yang terbunuh bersama ibu dan tiga adik perempuan mereka dalam serangan udara pada Sabtu di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, kata ahli keluarga.

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam serangan itu, yang memusnahkan empat rumah. Pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang terselamat di dalam runtuhan, pada Ahad.

Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza yang dikawal Hamas melaporkan 370 rakyat Palestin terbunuh, setakat ini, dan 2,200 lagi cedera, dengan hampir 300 terbunuh pada hari Sabtu, jumlah terbesar rakyat Palestin terbunuh di Gaza oleh serangan Israel dalam satu hari sejak 2008.

Di Gaza, Sabreen Abu Daqqa, yang diselamatkan dari rumah yang runtuh di Khan Younis, hanya mengetahui tiga daripada anaknya terbunuh, dua daripada mereka cedera, selepas dia terjaga dari hospital. Nasib anaknya yang keenam, tidak jelas. .

"Semuanya runtuh di atas kami. Anak-anak saya ada di sekeliling saya," katanya, suaranya lemah ketika dia bercakap dari hospital. Dia memanggil anak-anaknya dari bawah runtuhan, tetapi tidak mendengar jawapan.

"Mereka mula mengalihkan runtuhan dari saya sedikit demi sedikit. Mereka mengambil masa tiga jam," katanya.

Serangan udara Israel ke atas Gaza bermula sejurus selepas serangan Hamas dan berterusan semalaman hingga Ahad, memusnahkan pejabat dan kem latihan kumpulan itu, bersama dengan rumah dan bangunan lain.

Abu Daqqa dan penduduk tiga rumah lain yang musnah dalam serangan udara berkata, mereka tidak menerima amaran awal daripada Israel, mengatakan ini berbeza daripada pengeboman sebelum ini di mana pasukan keselamatan Israel menghubungi penduduk memberitahu mereka untuk berpindah sebelum serangan.

Tentera Israel, yang kerap menuduh Hamas sengaja beroperasi di kediaman dan bangunan awam lain, enggan mengulas.

Tentera Israel berkata, jet pejuangnya memusnahkan 800 'sasaran militan' setakat ini, di Semenanjung Gaza.

Salama Marouf, ketua pejabat media kerajaan Hamas, menolak kenyataan ini sebagai "perlindungan untuk mewajarkan pencerobohan pendudukan terhadap orang awam dan harta benda."

Di bandar Rafah, bersebelahan dengan sempadan Mesir, serangan udara Israel membunuh 12 ahli keluarga Abu Qouta, kata saudara-mara. Tujuh ahli keluarga lain dipercayai berada di bawah runtuhan, tambah mereka.

Semenanjung Gaza yang menempatkan kira-kira dua juta orang, dikuasai oleh Hamas sejak ia menguasai wilayah itu pada 2007. Ia menerima sekatan daripada Israel.

Ketika serangan udara bermula pada hari Sabtu, beribu-ribu penduduk Palestin yang tinggal berhampiran sempadan dengan Israel meninggalkan rumah mereka.

UNRWA, agensi PBB yang menyediakan perkhidmatan penting kepada rakyat Palestin berkata, sekurang-kurangnya 20,000 rakyat Palestin berlindung di 44 sekolah yang dikendalikannya di Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan, UNRWA berkata, dua budak lelaki, kedua-duanya pelajar di sekolah kendalian PBB di Khan Younis dan Beit Hanoun, disahkan menjadi antara yang terbunuh. Tiga sekolah UNRWA mengalami kerosakan disebabkan oleh serangan udara Israel, tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 9:02 AM