PENDUDUK Palestin menunggu bantuan kemanusiaan yang digugurkan dari udara semalam di utara Semenanjung Gaza. FOTO AFP.
PENDUDUK Palestin menunggu bantuan kemanusiaan yang digugurkan dari udara semalam di utara Semenanjung Gaza. FOTO AFP.
Agensi

Baitulmaqdis: Lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas payung terjun yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza gagal berfungsi, semalam.

Kegagalan itu menyebabkan palet bantuan jatuh di kawasan orang awam berkerumun, menunggu bekalan makanan di utara kem pelarian Shati, bandar Gaza.

Pejabat media kerajaan di Gaza yang mengesahkan insiden itu mengecam pengguguran bantuan dari udara yang dianggap sia-sia, sambil menyifatkan ia sebagai propaganda dan bukannya bantuan kemanusiaan.

Mereka turut menggesa bantuan makanan dibenarkan melalui lintasan darat.

"Kami sebelum ini memberi amaran, ia (pengguguran bantuan dari udara) menimbulkan ancaman kepada kehidupan rakyat di Semenanjung Gaza dan inilah yang berlaku hari ini apabila bungkusan itu jatuh di atas kepala rakyat," katanya dalam kenyataan.

Sumber tentera Jordan memberitahu AFP, kerajaan itu tidak terbabit dalam insiden maut berkenaan.

"Masalah teknikal yang menyebabkan beberapa payung terjun membawa bantuan tidak dibuka dan jatuh bersepah ke tanah semasa pengguguran bantuan udara di Gaza pada Jumaat, bukan daripada pesawat Jordan.

"Empat pesawat Jordan yang melakukan pengguguran bantuan udara dengan kerjasama lima negara lain menjalankan misinya tanpa sebarang masalah," katanya.

Melaporkan dari Rafah, Hani Mahmoud daripada Al Jazeera berkata, penduduk sedang mengalami satu lagi 'tragedi' di utara Gaza.

"Bukan hanya mereka berhadapan dengan kekurangan makanan dan bekalan perubatan, ketika menunggu bungkusan makanan, mereka sama ada disasarkan tentera Israel atau terkorban akibat payung terjun yang tidak berfungsi," katanya.

Kematian berlaku ketika kebuluran melanda kawasan itu dengan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu melaporkan, sekurang-kurangnya setengah juta atau satu daripada empat orang di Gaza menghadapi kebuluran.

Ia mendorong gesaan supaya bantuan kemanusiaan segera disalurkan segera, meskipun dalam sekatan Israel.

Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, pihak berkuasa Israel tidak membenarkan penghantaran menghantar bekalan ke utara semenanjung Gaza sejak 23 Januari lalu.

Program Makanan Sedunia yang menghentikan penghantaran bekalan ke Gaza kerana faktor keselamatan berkata, tentera Israel memaksa konvoi pertama ke Rafah yang dirancang selama dua minggu berpatah balik pada Selasa lalu.

Sebagai tindak balas, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Jordan, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir melaksanakan kaedah pengguguran bantuan melalui udara.

Langkah itu dikritik agensi bantuan sebagai cara yang mahal dan tidak berkesan untuk menghantar bekalan makanan dan perubatan.

Semalam, Pengarah Komunikasi UNRWA Juliette Touma memberitahu Al Jazeera, ada cara yang lebih mudah dan murah untuk membawa masuk bekalan yang sangat diperlukan ke Semenanjung Gaza.

"Ia melalui jalan raya termasuk menghantar lebih banyak trak dari Israel ke Semenanjung Gaza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 9:56 AM