SUAR ketika serangan udara Israel di Gaza. FOTO Reuters
SUAR ketika serangan udara Israel di Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Serangan Israel membunuh seorang kanak-kanak Palestin setiap 10 minit secara purata sepanjang bulan lalu di Gaza, lapor Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Isnin.

"Secara purata, seorang kanak-kanak terbunuh dan dua cedera setiap 10 minit semasa perang," kata UNRWA dalam satu kenyataan yang dimuat naik di X memetik laporan Agensi Anadolu.

"Melindungi orang awam semasa konflik bukanlah satu aspirasi atau cita-cita; ia adalah kewajipan dan komitmen kepada kemanusiaan kita bersama," tambahnya.

UNRWA adalah agensi utama PBB yang beroperasi di Semenanjung Gaza, di mana sekolahnya kini menempatkan kira-kira 670,000 penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan mencari perlindungan daripada serangan Israel yang berterusan.

Agensi bantuan itu kehilangan sekurang-kurangnya 70 kakitangannya sejak serangan bermula.

Israel melancarkan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh kumpulan penentang Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu.

Pengeboman Israel di Semenanjung Gaza membunuh sekurang-kurangnya 10,022 rakyat Palestin, termasuk 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita.

Menurut data rasmi, angka kematian Israel hampir 1,600 orang.

Selain jumlah korban yang besar dan pemindahan besar-besaran akibat pengepungan Israel di wilayah itu, bekalan asas juga semakin berkurangan untuk 2.3 juta penduduk Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 10:42 AM