KARGO bantuan dimasukkan ke dalam pesawat Belgium. FOTO Reuters
KARGO bantuan dimasukkan ke dalam pesawat Belgium. FOTO Reuters
AFP

Brussels: Belgium semalam mula menghantar pesawat pengangkut tentera untuk menyertai operasi antarabangsa bagi menggugurkan bantuan di Gaza.

Misi itu juga disertai Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Jordan.

Komander pangkalan udara, Kolonel Bruno Beeckmans berkata, bantuan itu dibawa ke Jordan sebelum pegawai Israel akan memeriksanya dan membenarkan pengguguran bantuan udara dilakukan pada paling awal pada Rabu.

"Kami tidak memutuskan bila kami masuk, kami diberitahu bila kami boleh masuk dan kami akan mematuhinya.

"Ia benar-benar zon larangan terbang kerana ia zon perang. Jadi kita perlu diselaraskan dengan tepat," katanya kepada AFP.

Beecksman berkata, langkah itu dilakukan atas sebab keselamatan, untuk mengelak daripada menghentam orang di darat, tetapi pihak berkuasa Palestin tidak mahu bantuan udara jatuh dalam air kerana disifatkan memalukan mereka.

Pengangkut Airbus A400M tentera itu akan membuat penerbangan lain dari Brussels ke pangkalan udara Zarqa, Jordan, untuk menerima lebih banyak bantuan dan kakitangan untuk pengguguran.

Menteri Luar Belgium Hadja Lahbib, yang turut berada di pangkalan udara Melsbroek, berkata, gencatan senjata segera perlu untuk membolehkan lebih banyak penghantaran bantuan.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Belgium Ludivine Dedonder menyifatkan, Zarqa sebagai hab gabungan kemanusiaan untuk Palestin.

Jordan melakukan sekurang-kurangnya 16 pengguguran bantuan udara ke Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober.

Satu daripadanya dibuat dengan pesawat tentera Perancis.

AS, sekutu terkuat Israel, memulakan bantuan ke Gaza, Sabtu lalu.

Pengguguran bantuan udara AS menyaksikan palet berat dipasangkan pada payung terjun disasarkan jatuh di luar pantai Gaza,

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menekankan keadaan teruk yang dilalui penduduk di Gaza dengan bekalan makanan yang semakin berkurangan meletakkan sebahagian besar penduduk di ambang kebuluran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 10:50 AM