BENDERA Palestin dikibar ketika himpunan solidariti untuk rakyat Palestin, semalam. FOTO AFP.
BENDERA Palestin dikibar ketika himpunan solidariti untuk rakyat Palestin, semalam. FOTO AFP.
AFP

Doha: Ketua Hamas, Ismail Haniyeh menggesa penduduk Palestin supaya menolak 'perpindahan' sama ada di dalam Semenanjung Gaza atau keluar dari kawasan yang disekat ke Mesir, susulan arahan berpindah dan serangan udara oleh Israel.

Dalam ucapan di televisyen, pemimpin berpangkalan di Qatar itu berkata, serangan besar-besaran yang menyasarkan komuniti Israel berhampiran sempadan Gaza pada 7 Oktober lalu adalah 'serangan strategik' yang akan membantu 'pembebasan Palestin'.

"Jadi, tidak akan ada perpindahan dari Tebing Barat, bukan dari Gaza dan tidak juga dari Gaza ke Mesir. Keputusan kita kekal untuk mempertahankan tanah air.

"Kita mahu pendudukan haram Israel meninggalkan tanah ini supaya rakyat Palestin dapat kembali, mempunyai sebuah negara dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota," katanya yang dilapor semalam.

Terdahulu, Haniyeh menuduh Israel melakukan jenayah perang dan menghalang bantuan kemanusiaan daripada memasuki Gaza.

"Kekejaman Israel sama dengan jenayah perang," katanya dalam surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang disiarkan di laman web kumpulan Palestin itu.

Haniyeh juga mengutuk 'kepungan kejam Israel yang dikenakan' ke atas wilayah Palestin, dengan mendakwa bahawa pendudukan Israel melarang kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.

Beliau menggesa Guterres untuk menekan Israel supaya membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.

Konflik Hamas-Israel yang bermula 7 Okt lalu mengorbankan ribuan orang termasuk kanak-kanak dan wanita, dengan Israel membalas serangan Hamas menerusi operasi ketenteraan udara dan darat.

Rejim zionis itu turut menyekat bekalan elektrik, air, makanan, perubatan dan bahan api ke Gaza sehingga Hamas membebaskan semua tawanan.

Kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin tinggal di Semenanjung Gaza, yang sekian lama berada di bawah sekatan yang Israel sejak Hamas merampas kuasa di kawasan pantai pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 10:57 AM