ASAP tebal susulan pengeboman dilakukan tentera Israel di Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal susulan pengeboman dilakukan tentera Israel di Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Sekurang-kurangnya 11 kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan 30 pelajar di sekolah seliaan PBB terbunuh di Semenanjung Gaza, sejak perang bermula apabila pejuang Hamas melancarkan serangan ke atas Israel, kata seorang jurucakap hari ini.

"Seramai 11 kakitangan PBB dan pekerja Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) direkodkan terkorban sejak Sabtu.

"Manakala 30 pelajar UNRWA juga menjadi mangsa korban dan lapan lagi cedera," kata seorang jurucakap, Stephane Dujarric kepada pemberita, merujuk kepada agensi PBB untuk pelarian Palestin yang juga mengendalikan sekolah di Gaza.

Timbalan Pengarah UNRWA Jennifer Austin dalam satu kenyataan pula menjelaskan, mangsa yang maut termasuk lima guru, pakar sakit puan, jurutera, kaunselor dan tiga kakitangan sokongan.

"UNRWA meratapi kehilangan ini dan berduka dengan rakan sekerja dan keluarga kami.

"Kakitangan PBB dan orang awam mesti dilindungi pada setiap masa semasa konflik. Kami menyeru supaya pertempuran dihentikan untuk menyelamatkan lebih banyak orang awam daripada terkorban," katanya.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres juga menggesa supaya orang awam dilindungi dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa ditegakkan, ketika Israel pada Rabu meneruskan pengeboman ke atas sasaran Hamas di Gaza.

"Kira-kira 220,000 rakyat Palestin kini berlindung di 92 kemudahan UNRWA di seluruh Gaza. Premis PBB, hospital, klinik dan sekolah sepatutnya tidak sama sekali menjadi sasaran dalam peperangan.

"Kakitangan PBB bekerja sepanjang masa untuk menyokong penduduk Gaza. Beberapa rakan sekerja saya membayar harga tertinggi... nyawa mereka," katanya sedih.

Guterres menggesa bantuan penting termasuk bahan api, makanan dan air dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza.

"Kami memerlukan akses kemanusiaan yang pantas dan tanpa halangan sekarang," kata pegawai tinggi PBB itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 12:44 PM