Asap mengepul semasa operasi darat Israel di Khan Younis, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas, seperti yang dilihat dari kem khemah yang melindungi penduduk Palestin yang terlantar di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza. FOTO REUTERS
Asap mengepul semasa operasi darat Israel di Khan Younis, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas, seperti yang dilihat dari kem khemah yang melindungi penduduk Palestin yang terlantar di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza. FOTO REUTERS
Bernama-Anadolu

Istanbul: Australia menyambung semula pembiayaan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Jumaat ketika situasi kemanusiaan di Gaza semakin teruk.

"Dalam meneruskan pembiayaan, kerajaan sedang bertindak balas terhadap situasi kemanusiaan yang genting dan semakin teruk di Gaza," kata Menteri Luar Penny Wong dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.

Keputusan untuk menghentikan sementara pembiayaan dibuat berikutan langkah untuk meningkatkan integriti operasi UNRWA.

Selain pembiayaan sebanyak US$6 juta kepada UNRWA, Canberra membantu Jordan dan UAE dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan penting kepada penduduk Gaza.

Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Australia akan menghantar 140 payung terjun Angkatan Pertahanan Australia untuk digunakan dalam operasi menggugurkan bantuan kemanusiaan.

Keputusan Australia itu sejajar dengan tindakan yang diambil oleh Kanada, Sweden dan EU serta dijangka lebih banyak negara yang telah menghentikan sementara pembiayaan akan mengambil pendekatan serupa.

Canberra mengakui bahawa hanya UNRWA sahaja yang mempunyai infrastruktur untuk menerima dan mengedarkan bantuan dalam skala yang diperlukan di Gaza selain menyeru Israel untuk mengiktiraf mandatnya dan bekerjasama secara telus untuk menyokong integritinya.

Australia juga mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata kemanusiaan segera dan berkekalan di Gaza.

"Saya tahu orang ramai sedang kelaparan di Gaza. Saya tahu UNRWA amat penting untuk memberikan bantuan ini kepada mereka yang berada di ambang kebuluran," kata menteri itu.

Sekurang-kurangnya lebih 31,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas selain mengakibatkan penduduk di wilayah terkepung itu diancam kebuluran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 5:32 PM