ASAP tebal susulan serangan udara Israel di Gaza, semalam. FOTO  AFP
ASAP tebal susulan serangan udara Israel di Gaza, semalam. FOTO AFP
AFP

Gaza: Kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, 200 pesakit dipindahkan dari Hospital Indonesia di sini, dengan bantuan Persatuan Palang Merah, beberapa jam selepas ia diserang Israel, awal pagi semalam.

Jurucakap kementerian kesihatan, Ashraf al-Qudra memberitahu AFP, seramai 200 orang dipindahkan dari hospital Indonesia di Jabalia dan dibawa dengan bas ke Hospital Nasser di bandar selatan Khan Younis.

"Tentera Israel sedang mengepung Hospital Indonesia dengan menempatkan kereta kebal mereka dan serangan terus meningkat.

"Kami bimbang perkara yang sama akan berlaku di sana seperti yang berlaku di Hospital Al-Shifa," katanya merujuk kepada hospital terbesar di Gaza, yang digempur tentera Israel sejak Rabu lalu.

Tambah beliau, pengosongan hospital dengan fasiliti 140 katil yang terletak berhampiran dengan kem pelarian Jabalia itu dilakukan dengan penyelarasan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Pemindahan dijalankan dalam keadaan yang ditetapkan oleh doktor selepas Israel menyerang ambulans di utara Gaza, yang didakwa digunakan oleh Hamas.

"Masih terdapat 400 pesakit di hospital dan kami bekerjasama dengan ICRC untuk berpindah," katanya sambil menunjukkan kira-kira 2,000 orang yang kehilangan tempat tinggal berada di dalam dan sekitar hospital bagi mendapatkan perlindungan.

Terdapat kira-kira 700 orang, termasuk kakitangan perubatan yang menegaskan mereka akan terus berkhidmat selagi diperlukan dan mangsa yang cedera, masih berada di dalam hospital.

Hamas sebelum ini melaporkan puluhan kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel dikerahkan ke sekitar pinggir hospital itu dan menembak ke arah kemudahan berkenaan.

Seorang wartawan AFP di Khan Younis melihat dua bas tiba di Hospital Nasser, dengan pemantauan ICRC.

Qudra berkata, setakat ini, serangan Israel ke atas hospital terbabit mengakibatkan 12 orang terbunuh, antaranya pesakit dan rakan mereka, selain puluhan mangsa lain yang cedera.

Sekurang-kurangnya 13,300 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober, menurut satu kenyataan yang diterbitkan oleh pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas pada Isnin.

Jumlah kematian itu termasuk 5,600 kanak-kanak dan 3,550 wanita, selain sekurang-kurangnya 6,500 orang dilaporkan hilang, 4,400 daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 10:32 AM