PENDUDUK cedera yang dipindahkan dari hospital Indonesia tiba dengan bas di hospital Nasser di selatan Gaza. FOTO AFP.
PENDUDUK cedera yang dipindahkan dari hospital Indonesia tiba dengan bas di hospital Nasser di selatan Gaza. FOTO AFP.
Agensi

Gaza: Tentera Israel menyerang sekolah diurus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) di kem Jabalia, utara Gaza semalam, menjelang gencatan senjata yang dipersetujui hari ini.

Menteri Kesihatan Gaza mengesahkan 27 terkorban dalam serangan ke atas Sekolah Abu Hussein yang menempatkan pelarian Palestin selepas kehilangan tempat tinggal akibat serangan tentera Israel.

Al Jazeera melaporkan tentera Israel juga melancarkan serangan baharu ke atas Hospital Indonesia di utara Gaza, menyasarkan pintu masuk utama dan penjana kuasa.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra berkata, hospital itu mengalami pengeboman sangat dahsyat dengan sebahagian besar bangunan menjadi sasaran rejim Zionis.

Lebih 200 pesakit, kakitangan perubatan dan orang yang kehilangan tempat tinggal kini berada di hospital di Beit Lahiya, yang dalam kepungan sejak seminggu.

Sementara itu, jet pejuang Israel menyasarkan kawasan kejiranan Sheikh Nasser di Khan Younis, selatan Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan puluhan orang lagi, menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

Turut dilapor, 10 orang terbunuh dalam serangan di sebuah rumah di kejiranan Sheikh Radwan di utara Gaza.

Di wilayah diduduki Tebing Barat, tentera Israel dilapor menembak mati kanak-kanak Palestin berusia 12 tahun iaitu Mohammed Ibrahim Fuad Edely, menjadikan angka korban melebihi 14,800 orang sejak 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 12:17 PM