ASAP tebal susulan operasi darat Israel. FOTO Reuters
ASAP tebal susulan operasi darat Israel. FOTO Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Rakyat Palestin mendakwa tentera Israel mengarahkan ribuan individu mengosongkan hospital terbesar di selatan Semenanjung Gaza.

Portal BBC melaporkan, video menunjukkan pengumuman melalui pembesar suara dan orang ramai meninggalkan Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis.

Tentera Israel berkata, pihaknya membuka laluan selamat untuk orang awam tetapi tidak berhasrat untuk memindahkan pesakit dan anggota perubatan.

Doktor dan pegawai kesihatan berkata, beberapa individu terbunuh akibat tembakan penembak tepat Israel, sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Kematian dilaporkan ketika pertempuran antara tentera Israel dan pejuang Hamas di sekitar hospital itu, yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dikepung selama kira-kira seminggu dan hanya berfungsi secara minimum.

Pertempuran sengit juga dilaporkan berlaku di sekitar Hospital Al-Amal, yang terletak berhampiran. Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, hospital itu diserbu minggu lalu selepas kira-kira 8,000 individu termasuk penduduk kehilangan tempat tinggal dan pesakit mematuhi arahan untuk berpindah.

Tentera Israel sebelum ini menuduh pejuang Hamas beroperasi dari dalam dan di sekitar dua hospital berkenaan, namun ia dinafikan oleh kumpulan bersenjata Palestin dan pegawai perubatan.

Khan Younis menjadi tumpuan pencerobohan Israel di selatan Gaza, yang bermula pada awal Disember, selepas sebahagian besar tenteranya menguasai kubu kuat Hamas di utara.

Tentera Israel melancarkan kempen udara dan darat secara besar-besaran selepas lelaki bersenjata Hamas membunuh kira-kira 1,200 orang di selatan Israel pada 7 Oktober lalu dan menjadikan 253 orang lain sebagai tebusan.

Sejak itu, Kementerian kesihatan Hamas Gaza berkata, lebih 28,500 individu sudah terbunuh di wilayah itu.

Pada pagi Rabu, wartawan Palestin, Mohammed al-Helo memuat naik rakaman di Instagram (IG) yang menunjukkan dron berlegar-legar di atas Hospital Nasser ketika seorang tentera menggunakan pembesar suara dan berkata dalam bahasa Arab: "Keluar sekarang dari hospital, pergi sekarang ke majlis perbandaran."

Kira-kira sejam kemudian, dia memuat naik satu lagi video menunjukkan puluhan individu berjalan melalui perkarangan hospital itu dan kemudian membelok ke arah Jalan al-Bahr , yang menghubungkan barat Khan Younis dengan pantai Mediterranean.

Susulan itu, kementerian kesihatan Gaza mengeluarkan kenyataan ringkas yang menuduh tentera Israel mengusir ribuan orang, kakitangan perubatan dan pesakit dari Hospital Nasser.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 11:17 AM