Reuters

Baitulmaqdis: Ambulans berpangkalan di Hospital Nasser, Khan Younis, selatan Gaza, Palestin, kini beroperasi sebagai klinik bergerak apabila kawasan itu masih dalam zon perang.

Paramedik Nassim Hassan, yang mengetuai unit kecemasan di Hospital Nasser berkata, kenderaan itu dijadikan sebagai klinik bergerak kerana tiada jalan kembali ke hospital.

Katanya, hospital terbesar yang masih berfungsi di selatan Gaza itu berada masih tidak selamat untuk pesakit atau ambulans untuk ke situ, kerana pertempuran sengit antara tentera Israel dan Hamas.

"Kami kini berfungsi sebagai klinik bergerak ambulans di pusat bandar Khan Younis.

"Tetapi, tanpa kemasukan segera bantuan, kami bimbang kehabisan bekalan dan peralatan merawat pesakit," katanya.

Katanya, mereka merawat pesakit dengan cara mereka sendiri termasuk mencari mangsa cedera dan membawa individu itu ke khemah yang lengkap dengan kemudahan perubatan asas.

"Sejak kami meninggalkan hospital itu enam hari lalu, kami tidak henti bekerja.

"Kecederaan berlaku kepada mereka yang dipindahkan yang berada di kawasan perindustrian dan beberapa sekolah.

"Ramai daripada mereka yang cedera dibawa menaiki kereta, tuk-tuk, kereta atau berjalan kaki," katanya.

Sementara itu, paramedik, Ibrahim Abu al-Kass, melakukan yang terbaik untuk merawat pelbagai kecederaan dan penyakit dengan hanya berbekalkan peralatan asas.

"Klinik bergerak ini dicipta selepas pengepungan hospital termasuk Hospital Nasser dan Hospital Al-Amal.

"Keadaan ini menyebabkan kami terpaksa merawat kes dalam keadaan sangat kritikal," katanya.

Khan Younis menyaksikan kemasukan besar penduduk yang dipindahkan semasa minggu pertama perang antara Israel dan Hamas, selepas tentera Israel memberitahu orang awam mengosongkan utara Gaza untuk keselamatan mereka.

Sejak itu, pertempuran beralih ke selatan dan tengah bandar Khan Younis, sehingga menyebabkan gelombang baharu pemindahan orang ramai ke Rafah, di sempadan selatan Gaza dengan Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 12:41 PM