PESAKIT dan orang ramai yang berlindung di Hospital Al-Shifa, tengah Gaza. FOTO AFP)
PESAKIT dan orang ramai yang berlindung di Hospital Al-Shifa, tengah Gaza. FOTO AFP)
AFP

Gaza: Selepas lima minggu perang, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memberi amaran pada Jumaat bahawa sistem kesihatan Gaza 'mencapai noktah tidak dapat kembali', sekali gus memberi risiko kepada nyawa ribuan pesakit.

Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi dipaksa untuk menghentikan operasi, kata ICRC, manakala Hospital Al-Nasser adalah antara yang rosak teruk.

"Peraturan perang adalah jelas. Hospital adalah kemudahan yang dilindungi khas di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata organisasi itu dalam satu kenyataan.

Ratusan ribu orang dianggarkan kekal di bahagian utara wilayah Palestin, termasuk Bandar Gaza, manakala secara keseluruhan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan hampir 1.6 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat perang.

Di hospital terbesar di Gaza, Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammad Abu Salmiya berkata, semua hospital di Bandar Gaza menjadi sasaran tentera Israel.

"Kami tidak menjangkakan untuk melihat hospital dibom pada 2023. Kami tidak boleh berpindah kerana kami mempunyai lebih daripada 60 pesakit dalam rawatan rapi.

"Lebih 50 bayi dalam inkubator, lebih daripada 500 pesakit dialisis," katanya yang kelihatan jelas sangat keletihan di sebalik uniform hospital dipakainya.

Seorang warga Palestin yang berlindung di Hospital Al-Shifa berkata, dia berasa terkepung kerana pertempuran antara tentera Israel dan pejuang Hamas.

"Kami memerlukan bantuan daripada masyarakat antarabangsa, orang ramai mati di sini kerana kekurangan rawatan," kata Atef, yang berlindung di hospital itu untuk mencari tempat selamat walaupun dikelilingi ramai pesakit di atas troli.

Pada Jumaat, Hospital Al-Shifa diserang rejim tentera zionis Israel menyebabkan 13 terkorban, kata pengarah hospital itu dan kerajaan Hamas.

Namun, tentera Israel menafikan melakukan pengeboman hospital.

Pada masa sama, Israel berkata, tenteranya berada di tengah-tengah Bandar Gaza memerangi Hamas yang dikatakan menggunakan hospital sebagai pusat arahan dan kawalan serta tempat persembunyian.

Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan oleh pejuang Hamas.

Di Hospital Al-Rantisi, seorang gadis muda yang kecewa berkata: "Kereta kebal Israel mengepung kami dari semua pihak.

"Kami diminta meninggalkan hospital dengan segera, tetapi tiada Palang Merah mahupun sesiapa yang boleh menjamin keselamatan orang awam keluar," katanya.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, penembak tepat Israel menembak Hospital Al-Quds pada Jumaat, membunuh seorang dan mencederakan 28 yang lain, majoriti kanak-kanak.

Tentera Israel memberitahu AFP ia tidak akan mengulas mengenai serangan itu kerana ia boleh "menggugat tentera".

Kempen serangan kejam Israel terhadap Palestin sudah membunuh lebih 11,000 orang di seluruh Semenanjung Gaza, majoriti daripada mereka orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 10:39 AM