PENDUDUK Palestin mencari mangsa di lokasi serangan Israel di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin mencari mangsa di lokasi serangan Israel di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Doha: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken berkata, rakyat Palestin tidak boleh didesak untuk meninggalkan Gaza, sebaliknya mesti dibenarkan pulang ke rumah mereka apabila keadaan membenarkan untuk berbuat demikian.

BBC melaporkan, Blinken mengecam kenyataan beberapa menteri Israel yang menggesa penempatan semula penduduk Palestin di tempat lain.

Pegawai kanan AS itu yang berada di Qatar dalam jelajah Timur Tengah terbaharunya, membuat komen berkenaan, berikutan laporan bahawa puluhan mangsa perang terbunuh di kem pelarian di Jabalia, utara Gaza.

Rakaman dari kem Jabalia menunjukkan mayat bergelimpangan di runtuhan bangunan yang musnah, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Tentera Israel masih belum memberikan sebarang reaksi berhubung laporan berkenaan.

Lebih 60 rakyat Palestin dilaporkan turut terbunuh beberapa hari lalu di bandar selatan Khan Younis.

Kem Jabalia sudah diserang beberapa kali sejak Israel memulakan perangnya terhadap Hamas berikutan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh lelaki bersenjata Hamas ke selatan Israel, pada 7 Oktober tahun lalu.

Di pihak Israel, angka rasmi mengatakan kira-kira 1,200 orang terbunuh dan kira-kira 240 yang lain dijadikan tebusan dalam serbuan Hamas.

Di pihak Palestin, lebih 22,000 mangsa kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh di Gaza, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas. Ia melaporkan sekurang-kurangnya 113 kematian dalam tempoh 24 jam pengeboman Israel.

"Orang awam Palestin mesti boleh pulang ke rumah sebaik sahaja keadaan mengizinkan. Mereka tidak boleh dipaksa, mereka tidak boleh didesak untuk meninggalkan Gaza," kata Blinken pada Ahad.

Menteri Kewangan sayap kanan Israel, Bezalel Smotrich sebelum ini menggesa rakyat Palestin meninggalkan Gaza dan memberi laluan kepada rakyat Israel.

Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir pula minggu ini mengeluarkan seruan untuk menggalakkan penghijrahan penduduk Gaza sebagai penyelesaian kepada krisis itu.

Sementara itu, keadaan di Gaza semakin buruk. Pegawai kesihatan berkata, kemudahan perubatan termasuk hospital kini tidak selamat.

Tiga kumpulan bantuan perubatan antarabangsa mengumumkan mereka menarik diri dari Hospital al-Aqsa di tengah Gaza, selepas Israel mengeluarkan arahan pemindahan.

Ketua pasukan di Gaza dari Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Gemma Connell memberitahu program Newshour BBC World Service bahawa mereka 'sangat prihatin dengan perkembangan ini'.

"Maksudnya ialah hospital yang sudah terlalu sesak dan sarat, jauh melebihi kapasitinya kini tanpa tetulang kritikal untuk menyokongnya kerana ia menangani jumlah korban yang semakin meningkat," kata Connell.

Perjalanan terbaharu Blinken ke Timur Tengah hadir di tengah-tengah ketegangan yang meningkat di rantau itu, dengan kebimbangan bahawa perang di Gaza boleh merebak.

Saleh al-Arouri, pegawai tertinggi Hamas, dibunuh dalam serangan yang disyaki Israel di selatan Beirut pada Selasa minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 2:32 PM