RAKYAT Palestin berkumpul di jalan raya di Rafah selepas Hamas mengumumkan menerima cadangan gencatan senjata pada 6 Mei. FOTO AFP
RAKYAT Palestin berkumpul di jalan raya di Rafah selepas Hamas mengumumkan menerima cadangan gencatan senjata pada 6 Mei. FOTO AFP
Agensi

Rafah: Cadangan gencatan senjata yang dipersetujui Hamas merangkumi tiga fasa yang mana setiap fasa berlangsung selama enam minggu.

Al Jazeera melaporkan, jika semua pihak bersetuju ia akan menyaksikan perang Israel ke atas Gaza akan berakhir dan pembebasan tawanan Israel yang ditahan di enklaf dan rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh Al Jazeera, dalam fasa pertama, akan ada pemberhentian sementara permusuhan antara Hamas dan Israel serta pengunduran tentera Israel ke timur, jauh dari kawasan yang lebih padat penduduk di Gaza, dan ke arah sempadan antara Israel dan enklaf Palestin.

Pesawat dan dron Israel juga akan berhenti terbang di ruang udara Gaza selama 10 jam setiap hari, dan selama 12 jam pada hari apabila tawanan dibebaskan.

Hamas akan membebaskan 33 tawanan (sama ada tawanan yang masih hidup atau mayat tawanan) secara berperingkat pada fasa pertama

Tawanan adalah wanita, sesiapa sahaja yang berusia 50 tahun ke atas, individu yang sakit atau bukan tentera di bawah umur 19 tahun.

Bagi setiap tawanan Israel awam yang dibebaskan hidup, Israel akan membebaskan 30 orang Palestin yang ditahan.

Bagi setiap askar wanita yang dibebaskan oleh Hamas, Israel akan membebaskan 50 rakyat Palestin.

Pengunduran tentera Israel akan membolehkan orang awam Palestin yang dipindahkan untuk kembali ke rumah mereka di seluruh Gaza, yang akan dilakukan secara beransur-ansur apabila Hamas membebaskan tawanan.

Perjanjian itu juga menetapkan kerja pembinaan semula di Gaza mesti bermula dalam fasa ini, serta pengagihan bantuan, Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan organisasi bantuan lain dibenarkan membantu orang awam.

Dalam fasa kedua perjanjian itu, operasi ketenteraan akan ditamatkan secara kekal dan pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza.

Ketika ini, akan ada satu lagi pertukaran tahanan, kali ini membabitkan semua lelaki Israel yang tinggal, termasuk tentera yang ditahan di Gaza.

Warga Israel akan dibebaskan sebagai balasan kepada bilangan tawanan Palestin yang belum ditentukan.

Fasa ketiga akan menyaksikan pertukaran mayat tawanan dan banduan yang ditahan oleh kedua-dua pihak.

Dari segi pembangunan, fasa ini akan membabitkan rancangan pembinaan semula Gaza yang dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun, dan paling penting menamatkan sekatan Israel ke atas kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 10:32 AM