ORANG ramai mengusung keranda Saleh Al-Arouri. FOTO AFP
ORANG ramai mengusung keranda Saleh Al-Arouri. FOTO AFP
Reuters

Beirut: Timbalan Ketua Hamas, Saleh Al-Arouri bersama enam lagi mangsa yang terbunuh dalam satu serangan Selasa lalu, selamat dikebumikan di kem pelarian Shatila di Beirut, semalam.

Saleh terbunuh dalam serangan dron pada 2 Januari lalu di pinggir selatan Beirut, kubu kuat kumpulan bersenjata Hizbullah Lubnan, ketika dia bertemu sekumpulan lelaki Palestin dan Lubnan daripada puak yang bersekutu dengan Hamas.

Serangan itu secara meluas dikaitkan dengan musuh Hamas, Israel.

Semua tujuh orang yang menghadiri mesyuarat di Beirut itu, terbunuh.

Jasad beberapa orang termasuk Saleh, yang terpisah dalam beberapa bahagian akibat serangan itu, menyukarkan persiapan untuk pengebumian.

Dua daripada rakyat Palestin, seorang anggota sayap bersenjata Hamas Briged Al-Qassam dan seorang lagi warga Palestin yang terbunuh bersama Saleh turut dikebumikan di Tanah Perkuburan Syuhada Shatila.

Keranda mereka disarungkan dengan bendera Palestin dan dibawa lelaki berkopiah hijau dengan tulisan Hamas di bahagian hadapan.

Letupan kuat tembakan kedengaran selama berjam-jam.

Sementara itu, abang Saleh, Salameh Al-Arouri berkata, jalan-jalan di kampung mereka, di Aroura, Tebing Barat, dihiasi dengan bendera dan sepanduk Palestin sebagai penghormatan terakhir.

Katanya, puluhan orang berkumpul di dewan berhampiran rumah keluarganya untuk menonton siaran langsung pengebumian itu.

"Semua penduduk Aroura dan rakyat Palestin menganggapnya sebagai anak mereka," katanya kepada Reuters.

Ketua Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu kenyataan menzahirkan duka cita dengan pemergian pejuang mereka.

Kematian Saleh adalah pembunuhan pertama yang disasarkan ke atas seorang pemimpin Hamas di luar Palestin, sejak serangan 7 Oktober lalu.

Penganalisis berkata, kejadian itu antara mesej Israel kepada Hizbullah bahawa kubu utamanya di pinggir Beirut pun boleh disasarkan.

Ketua Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah menyalahkan Israel atas pembunuhan Saleh dan mendakwa ia jenayah besar.

Saleh, 57, adalah salah seorang pengasas Briged Al- Qassam, sebelum mengambil portfolio politik, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun kurang berpengaruh berbanding pemimpin Hamas di Gaza, Saleh dilihat sebagai pemain utama dalam kumpulan itu terutama dalam operasinya di Tebing Barat daripada buangan di Syria, Turkiye, Qatar dan akhirnya Lubnan, selepas sekian lama ditahan di penjara Israel.

Beliau dilihat berusaha membaiki hubungan antara Hizbullah dan Hamas selepas kedua-dua pihak yang menyokong lawan dalam perang Syria yang meletus pada 2011.

Sejak sekian lama, Israel menuduh Saleh melakukan serangan maut ke atas rakyatnya.

Namun, seorang pemimpin Hamas mendakwa Saleh juga terbabit dalam rundingan dikendalikan Qatar dan Mesir dalam perang Gaza dan pembebasan tebusan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 10:55 AM