SUASANA panik susulan letupan ketika upcara memperingati kematian Qasem Soleimani. FOTO WANA/ Reuters
SUASANA panik susulan letupan ketika upcara memperingati kematian Qasem Soleimani. FOTO WANA/ Reuters
AFP

Gaza: Kebimbangan bahawa perang Israel di Gaza boleh melanda Timur Tengah meningkat selepas insiden 'letupan berkembar' di Iran meragut sekurang-kurangnya 103 nyawa, berlaku selepas serangan di Lubnan yang membunuh timbalan ketua Hamas.

Lebih 200 orang lagi cedera apabila letupan yang berselang kira-kira 15 minit itu berlaku ketika orang ramai berkabung bagi memperingati jeneral Pengawal Revolusi Iran, Qasem Soleimani yang terbunuh empat tahun lalu dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS), lapor media negara Iran.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas letupan, yang menurut arkib AFP, serangan paling maut di negara itu sejak kebakaran akibat khianat pada 1978 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 377 orang.

Televisyen kerajaan melabelkan letupan itu sebagai "serangan pengganas". Ia berlaku ketika ketegangan di Timur Tengah susulan serangan di Beirut yang membunuh pemimpin nombor dua Hamas, Saleh al-Arouri.

Seorang pegawai AS pada Rabu memberitahu AFP, "serangan Israel" meragut nyawa al-Arouri, tokoh paling berprofil tinggi yang terbunuh dalam tempoh hampir tiga bulan perang Israel dengan Hamas di Gaza.

Berikutan serangan di Beirut pada Selasa, jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari berkata, tentera "sangat bersedia untuk sebarang senario." Dia tidak mengulas secara langsung mengenai pembunuhan al-Arouri, yang Hamas berkata, akan dikebumikan pada Khamis di kem pelarian Palestin, Shatila di Beirut.

Israel dan Iran sudah lama menjadi musuh ketat. Pertempuran membabitkan kumpulan disokong Iran di Lubnan, Iraq, Syria dan Yaman, meningkat semasa perang di Gaza, sejak 7 Oktober lalu.

Selepas pembunuhan al-Arouri pada Selasa, kumpulan bersenjata Lubnan yang disokong Iran, Hizbullah menyalahkan musuhnya, Israel atas serangan di kubu kuat Muslim Syiah di selatan Beirut.

Walaupun Israel menafikan pembabitannya, Hamas dan sumber keselamatan Lubnan menuduh rejim itu membunuh al-Arouri, 57, pengasas sayap tentera Hamas.

Hizbullah berikrar pembunuhan al-Arouri dan enam lagi anggota Hamas tidak akan terlepas daripada hukuman, melabelkannya sebagai "serangan serius ke atas Lubnan... dan perkembangan berbahaya".

Pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah memberi amaran kepada Israel terhadap perang habis-habisan ke atas negara di utara yang bersempadan dengan Lubnan.

Semasa perang Israel-Hamas, termasuk pada Rabu lalu, Israel melakukan tembakan rentas sempadan terhadap pejuang Islam, terutamanya sekutu Hamas, Hizbullah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 1:34 PM