KENDERAAN tentera Israel bergerak di sempadan Gaza susulan perang Israel-Hamas. FOTO Reuters.
KENDERAAN tentera Israel bergerak di sempadan Gaza susulan perang Israel-Hamas. FOTO Reuters.
Agensi

Tel Aviv: Tentera Israel berkata pihaknya sudah 'selesai membongkar' struktur pemerintah Hamas di utara Semenanjung Gaza.

Jurucakap tentera Daniel Hagari memberitahu pemberita bahawa pejuang Palestin kini beroperasi di kawasan itu hanya secara sporadic dan 'tanpa komander'.

Dakwanya, Israel sudah membunuh kira-kira 8,000 pejuang Hamas di utara Gaza. Angka itu tidak dapat disahkan BBC secara bebas.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kini memberi tumpuan untuk membongkar Hamas di selatan dan tengah Gaza, katanya.

Sejak perang bermula, Israel menyebabkan kematian lebih 22,000 orang, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas.

Kementerian itu semalam berkata, lebih 120 kematian direkod dalam tempoh 24 jam lalu.

Wilayah itu sudah musnah dan kebanyakan daripada 2.3 juta penduduk Gaza sudah dipindahkan.

Serangan Israel bermula selepas serangan mengejut pejuang Hamas pada 7 Oktober yang mengorbankan 1,200 penduduk Israel dan menjadikan kira-kira 240 orang tebusan.

Daripada itu, 120 orang masih kekal jadi tebusan, manakala bakinya dibebaskan dengan persetujuan bersama.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu semalam, mengulangi pendirian bahawa Israel akan meneruskan kempennya untuk menghapuskan Hamas, menyelamatkan tebusan dan memastikan bahawa Gaza tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel.

"Kita perlu mengetepikan segala-galanya... sehingga kemenangan sepenuhnya dicapai," katanya.

Sementara itu, Hizbullah melancarkan berpuluh-puluh roket ke arah utara Israel pada Sabtu, dalam apa yang dipanggil sebagai tindak balas awal terhadap pembunuhan pegawai tertinggi Hamas di Beirut awal minggu ini.

Saleh al-Arouri dibunuh dalam serangan yang disyaki Israel di ibu negara Lubnan.

Gerakan Lubnan yang disokong Iran dalam kenyataan memberitahu, mereka menyerang pangkalan kawalan trafik udara di Meron dengan 62 roket, manakala Israel mengenal pasti kira-kira 40 pelancar dari Lubnan dan bertindak ke atasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 8:58 AM