WANITA dan kanak-kanak Palestin berkumpul di pekarangan Masjid Al-Aqsa bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul. FOTO Reuters.
WANITA dan kanak-kanak Palestin berkumpul di pekarangan Masjid Al-Aqsa bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul. FOTO Reuters.
Agensi

Istanbul: Umat Islam di seluruh dunia meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tanggal 12 Rabiulawal dengan pelbagai aktiviti yang mengagungkan Rasulullah.

Antara dilakukan pada sambutan yang turut dikenali Mawlid al-Nabawi, adalah perarakan, mengimarahkan masjid, membaca al-Quran dan menyemarakkan lagi rasa kecintaan dengan mendengar ceramah dan berselawat memuji Tuhan dan Rasul.

Hari ini juga cuti umum untuk negara majoriti penduduk Islam termasuk Pakistan, Indonesia, Malaysia, Bangladesh dan beberapa negeri di India.

Di Turkiye, sambutan yang dikenali Mevlid Kandili menyaksikan umat Islam berkumpul di masjid, menziarahi makam wali sufi dan berkumpul bersama keluarga serta rakan sambil menikmati manisan tradisional.

AHLI tarikat sufi memainkan alat muzik ketika perarakan Mawlid al-Nabawi di jalan utama daerah Azhar di Kaherah. FOTO AFP.
AHLI tarikat sufi memainkan alat muzik ketika perarakan Mawlid al-Nabawi di jalan utama daerah Azhar di Kaherah. FOTO AFP.

Penduduk Arab Saudi pula menyemarakkan sambutan dengan penganjuran ceramah, seminar dan diskusi mengenai Nabi Muhammad SAW, serta menekankan keperluan memahami dan mengikut sunnah nabi.

Sementara di Pakistan, ramai penduduk menghias kediaman, jalan dan masjid dengan lampu berwarna-warni dan menaikkan sepanduk petikan ayat suci al-Quran.

Komuniti Islam negara itu juga mengambil kesempatan hari kelahiran nabi untuk bersedekah dan menganjurkan aktiviti kebajikan serta memberi makanan percuma.

Tidak ketinggalan penduduk Palestin di Tebing Barat yang menghias kota lama Nablus, selain mengunjungi Masjid Al-Aqsa.

PENDUDUK Palestin melalui jalan yang dihias indah meraikan hari kelahiran nabi di kota lama Nablus di Tebing Barat. FOTO AFP.
PENDUDUK Palestin melalui jalan yang dihias indah meraikan hari kelahiran nabi di kota lama Nablus di Tebing Barat. FOTO AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 10:10 AM