Agensi

Beijing: Banjir di Henan, wilayah paling padat penduduk di China mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang dan meletakkan 100,000 penduduk dalam ketakutan, kemungkinan berlaku tragedi akibat empangan pecah.

Seluruh jalan raya dan terowong kereta api bawah tanah yang menjadi nadi pengangkutan bagi 12.6 juta populasi di bandar Zhengzhou, tenggelam.

Hujan lebat turut melanda daerah lain Henan, namun tidak seburuk di pusat bandar.

Pengkaji cuaca menyifatkan kejadian ekstrem itu kesan daripada hujan paling lebat dalam tempoh 1,000 tahun, dengan media berkongsi video penduduk untuk menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam gerabak kereta api bawah tanah yang dipenuhi air.

Hospital pula dilapor mengalami gangguan elektrik, menurut media tempatan yang dipetik SCMP.

KEADAAN banjir di bandar Zhengzhou, Henan selepas hujan lebat. FOTO AFP.
KEADAAN banjir di bandar Zhengzhou, Henan selepas hujan lebat. FOTO AFP.

Pada Rabu, ibu pejabat pusat kawalan banjir Zhengzhou mengeluarkan mesej amaran bahawa terdapat 'ancaman keselamatan' di kawasan sekitar empangan Guojiazui dan meminta penduduk di barat daya bandar itu berpindah segera.

Kementerian Sumber Air dan Pengurusan China berkata, tanda hakisan dan runtuhan skala besar sudah kelihatan pada cerun empangan, tetapi tiada kegagalan fungsi yang dilapor berlaku.

Sementara itu, Presiden Xi Jinping mengisytihar banjir di wilayah tengah China itu sebagai sangat buruk dan berada pada tahap kritikal.

"Beberapa empangan pecah.. menyebabkan berlaku kecederaan serius, kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.

"Situasi banjir ini sangat buruk," katanya seperti dilapor media tempatan yang dipetik AFP.

PENDUDUK berpayung meredah banjir di Zhengzhou, Henan. FOTO AFP.
PENDUDUK berpayung meredah banjir di Zhengzhou, Henan. FOTO AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 12:53 PM