MUHAMAD Shafiq Iqbal dan Nor Amalini Fitriza turut berarak bersama 1,200 penduduk sempena sambutan Maulidur Rasul, Sabtu lalu.  FOTO Amrullah Abdul Karim
MUHAMAD Shafiq Iqbal dan Nor Amalini Fitriza turut berarak bersama 1,200 penduduk sempena sambutan Maulidur Rasul, Sabtu lalu. FOTO Amrullah Abdul Karim
Amrullah Abdul Karim

Bukit Beruntung : Perarakan sambutan Maulidur Rasul di Apartmen Dahlia, Taman Bunga Raya, di sini, pada Sabtu lalu menarik perhatian apabila turut disertai pasangan pengantin iaitu Muhamad Shafiq Iqbal Kamarulzaman dan isterinya Nor Amalini Fitriza Mohd Napi, masing-masing berusia 26 tahun.

Program bermula pada jam 8 pagi yang disertai 1,200 penduduk itu membabitkan perarakan sejauh satu kilometer mengelilingi kawasan berkenaan.

Nor Amalini yang bertugas sebagai wartawan, berkata dia menyertai perarakan itu selepas mendapat persetujuan suami dan keluarganya.

“Sebagai ahli kariah, kami memberi sokongan kepada program yang dianjurkan selain mengambil kesempatan memberitahu umum bahawa kami sudah menjadi pasangan suami isteri.

“Seronok juga apabila keluarga mentua yang terkilan tidak dapat menyertai perarakan besar Maulidur Rasul di kampung halaman di Sik, Kedah akhirnya dapat melakukannya bersama kami di sini,” katanya, semalam.

MUHAMAD Shafiq Iqbal dan Nor Amalini Fitriza. FOTO Amrullah Abdul Karim
MUHAMAD Shafiq Iqbal dan Nor Amalini Fitriza. FOTO Amrullah Abdul Karim

Perarakan anjuran Surau Abu Hanifah itu turut disertai beberapa ahli Pertubuhan Kebajikan DRJ termasuk Pengerusinya Datuk Roslee Jamaludin.

Katanya, mereka melangsungkan pernikahan selepas solat Jumaat lalu di rumahnya di apartmen itu dan membuat keputusan menyertai perarakan berkenaan keesokkan harinya.

Sementara itu, Pengerusi surau berkenaan Harun Ghazali berkata, sambutan memperingati kelahiran Nabi Muhammad itu wajar disertai semua penduduk dan tidak menolak jika ada pasangan mempelai yang mahu terbabit sama.

“Penyertaan pasangan pengantin itu antara pengisian program walaupun kebiasaannya mereka diperkenalkan pada waktu tengah hari. Namun, mereka memilih untuk sama berarak dan kami amat mengalu-alukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 7:52 AM