PENGUNDI warga emas menunjukkan dakwat pada jari tanda selesai membuang undi bagi pilihan raya ke-12 Bangladesh. FOTO Reuters.
PENGUNDI warga emas menunjukkan dakwat pada jari tanda selesai membuang undi bagi pilihan raya ke-12 Bangladesh. FOTO Reuters.
Agensi

Dhaka: Di sebalik keganasan yang berlaku termasuk kebakaran pusat pengundian, sekolah dan kereta api, Bangladesh tetap meneruskan pilihan raya ke-12, dengan 119.6 juta pengundi dijangka membuang undi hari ini.

Meskipun tanpa parti pembangkang utama, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang melancarkan boikot, proses demokrasi bermula 8 pagi hingga 4 petang di 42,024 pusat mengundi yang membabitkan 261,912 saluran.

Sebelum itu, sekurang-kurangnya 14 pusat mengundi dan dua sekolah di 10 daerah dibakar antara petang Jumaat hingga semalam, selain kereta api penumpang.

Tiada kemalangan jiwa dilapor dalam kebakaran pusat mengundi namun, empat terkorban dan lapan cedera dalam tragedi kereta api Benapole Ekspress.

Aplikasi Pengurusan Pilihan Raya Pintar BD yang dilancarkan suruhanjaya pilihan raya Bangladesh (EC) untuk memudahkan pengundi mendapatkan maklumat, turut dilapor tergendala tengah malam tadi.

Pengundi mendakwa sukar mengakses aplikasi itu bagi memeriksa tempat mengundi dan lain-lain berkaitan pilihan raya.

Pengurus sistem EC, Ashraf Hossain berkata, masalah berlaku disebabkan penggunaan tinggi yang melebihi kapasiti aplikasi.

"Isu sukar mengakses aplikasi adalah sementara dan dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi," katanya yang dilapor Dhaka Tribune.

PENUNTUT Universiti Dhaka berhimpun sambil memegang sepanduk mendesak penduduk boikot pilihan raya. FOTO AFP.
PENUNTUT Universiti Dhaka berhimpun sambil memegang sepanduk mendesak penduduk boikot pilihan raya. FOTO AFP.

Pilihan raya itu mempertandingkan 299 kerusi parlimen dengan parti pemerintah Liga Awami dan pakatannya yakin menang selepas seteru mereka, BNP melancarkan boikot.

Ini adalah kali kedua BNP boikot dalam pilihan raya negeri, sambil mendakwa Liga Awami pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina cuba 'menghalalkan' undi palsu yang akan memberikan partinya kemenangan penggal keempat berturut-turut.

Hasina yang menolak tuntutan BNP untuk meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada badan berkecuali untuk menjalankan pilihan raya, menuduh parti pembangkang itu mencetuskan protes antikerajaan yang menggegarkan Dhaka sejak Oktober lalu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang.

BNP menyeru rakyat negara itu supaya tidak mengundi dan menggesa mogok selama dua hari bermula semalam.

Bagi menjamin keselamatan dan memastikan kelancaran pilihan raya, sejumlah 800,000 petugas keselamatan dikerah mengawal pusat pengundian dan sekitar bandar, termasuk tentera laut.

TENTERA berkawal di luar pejabat Sekretariat Negeri di Dhaka menjelang pilihan raya. FOTO AFP.
TENTERA berkawal di luar pejabat Sekretariat Negeri di Dhaka menjelang pilihan raya. FOTO AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 11:17 AM