PENDUDUK Palestin mengangkat mayat remaja, Mohamed Fayez Balhan yang maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat. FOTO AFP.
PENDUDUK Palestin mengangkat mayat remaja, Mohamed Fayez Balhan yang maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat. FOTO AFP.
Agensi

Ramallah: Sekurang-kurangnya 216 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di Nablus, Tebing Barat, menurut pasukan perubatan Palestin semalam.

Sebelum itu, seorang remaja lelaki Palestin terkorban dengan mangsa, Mohammed Fayez Balhan, 15, terkena tembakan di kepala, dada serta perut.

Persatuan Bulan Sabit Merah dalam kenyataan memaklumkan, pertempuran dengan penunjuk perasaan di Kampung Beita menyebabkan 22 orang ditembak dengan peluru getah, sementara puluhan terkena gas pemedih mata.

Pertempuran itu selepas lapan menteri Israel, 20 ahli parlimen Israel dan lebih 17,000 peneroka haram berarak ke Avatar, pos haram di utara Tebing Barat untuk menuntut pengesahan kependudukan.

PENDUDUK Palestin membuat benteng dengan tayar di kampung Beita, selatan bandar Nablus, Tebing Barat. FOTO AFP.
PENDUDUK Palestin membuat benteng dengan tayar di kampung Beita, selatan bandar Nablus, Tebing Barat. FOTO AFP.

Ghassan Daghlas, wakil Palestin yang menguruskan hal ehwal pendudukan di utara Tebing Barat memberitahu Xinhua yang ribuan peneroka Israel menganjur "perarakan provokatif ke arah luar pos Avatar dekat bandar Nablus."

Rakyat Palestin mengibar bendera, melaungkan slogan menentang Israel, membakar tayar dan membaling batu ke arah tentera Isreal, yang kemudian menembak gas pemedih mata dan peluru getah.

Jurucakap Presiden Palestin Nabil Abu Rudeineh dalam kenyataan berkata, Palestin mengutuk perarakan peneroka haram berkenaan yang turut disertai menteri kerajaan Israel.

"Pencerobohan peneroka tidak mengubah hakikat bahawa ia adalah tanah Palestin dan akan kekal begitu, dan bahawa pencerobohan ini, yang datang dengan kekerasan senjata, tidak juga mewujudkan hak," katanya.

Abu Rudeineh menganggap kerajaan Israel bertanggungjawab ke atas serangan harian peneroka dan askar Israel ke atas Palestin, dan "tindakan berdiam Amerika Syarikat (AS) menggalakkan pendudukan (Israel)", serta menyeru campur tangan segera untuk menghentikannya.

Menteri Pertahanan Israel Itamar Ben-Gvir ketika berucap pada perarakan itu berkata, matlamat mereka adalah "untuk mengatakan bahawa negara Israel kuat" dan bahawa "kita adalah di sini dan akan kekal di sini".

Perarakan itu berlaku di tengah-tengah keganasan yang semakin meningkat antara warga Israel dan Palestin, yang dicetuskan oleh serbuan polis Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 10:55 AM