NIK Nazmi menunjukkan sisa buangan elektronik di proses secara haram di kilang ini ketika operasi Jabatan Alam Sekitar di Sungai Petani. FOTO Wan Nabil Nasir.
NIK Nazmi menunjukkan sisa buangan elektronik di proses secara haram di kilang ini ketika operasi Jabatan Alam Sekitar di Sungai Petani. FOTO Wan Nabil Nasir.
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah membongkar kegiatan sebuah kilang kitar semula yang disyaki memproses plastik terpakai menjadi pelet makanan ikan di sini, hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata serbuan itu dilakukan kira-kira jam 11 pagi menerusi Ops Patuh bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, kilang kitar semula terbabit dipercayai beroperasi secara haram dengan menjadikan pelet yang dibungkus dalam pek makanan ikan.

"Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 100 tan yang selesai diproses sebagai pelet dan dibungkus dalam plastik bertulis makanan ikan air tawar.

"Selain itu, kita turut menemui kira-kira 100 tan plastik terpakai yang belum diproses," katanya ketika ditemui selepas Ops Patuh di kilang kitar semula, di sini, hari ini.

Selain itu Nik Nazmi berkata, pihaknya turut menyita lebih 1,500 tan bahan sisa elektronik dalam serbuan di sebuah lagi kilang kitar semula di sini.

Katanya, dua kilang terbabit diambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), AKAS 1974 ke atas mesin pengeluaran yang diguna pakai di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.

"Serbuan dilakukan di dua kilang kerana menjalankan pemerolehan kembali luar tapak buangan terjadual (e-waste) tanpa kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan lesen dari JAS, serta aktiviti kitar semula plastik tanpa EIA," katanya.

Beliau berkata bagi penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) (Akta 127), premis terbabit disiasat di bawah Seksyen 18, AKAS 1974 kerana menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa mendapat lesen daripada JAS.

Katanya, premis turut disiasat di bawah Seksyen 34A, AKAS, 1974 kerana gagal mengemukakan laporan EIA kepada JAS dan Seksyen 34B, AKAS 1974 kerana menempatkan buangan terjadual tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.

Nik Nazmi berkata, kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan juga akan disediakan atas semua kesalahan di bawah AKAS 1974.

Katanya, berdasarkan rekod JAS, terdapat 3,526 premis daripada pelbagai sektor industri yang beroperasi di Kedah.

"Sehingga Jun 2024, JAS berjaya menjalankan 544 pemeriksaan penguatkuasaan terhadap industri di Kedah.

"Sebanyak 359 tindakan penguatkuasaan telah diambil yang merangkumi pengeluaran notis arahan untuk tindakan penambahbaikan, pengeluaran kompaun, penahanan operasi kelengkapan, gantung lesen dan penyediaan kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan," katanya.

Nik Nazmi berkata NRES sentiasa komited untuk memastikan semua industri yang beroperasi mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 serta lain-lain perundangan yang berkaitan.

"NRES juga mengalu-alukan cadangan memperluaskan konsep kawasan industri secara 'gated and guarded' supaya pengurusan, kawalan dan pengawasan industri-industri ini mudah dijalankan oleh agensi-agensi berkaitan.

"Inisiatif pengawasan pintar yang menggunakan CCTV di kawasan perindustrian serta 'hotspots' adalah satu langkah proaktif dalam mengekang pelupusan buangan terjadual serta jenayah lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 3:33 PM