KEADAAN di kampung yang terletak di Adonara, Flores Timur selepas dilanda banjir kilat. - EPA
KEADAAN di kampung yang terletak di Adonara, Flores Timur selepas dilanda banjir kilat. - EPA
AFP

Lembata, Indonesia: Ribut tropikal Seroja yang melanda Indonesia dan Timur Leste menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 91 individu maut dan puluhan lagi hilang.

Hujan lebat dijangka turun untuk beberapa hari lagi dengan ribut mengakibatkan ombak besar setinggi enam meter, kata agensi bencana Indonesia.

Di Timur Leste, sekurang-kurangnya 21 maut dengan kebanyakannya berlaku di Dili, di mana bahagian hadapan kediaman presiden bertukar menjadi kawah lumpur.

Penduduk Lembata, Basir Langoday berkata, ketika kediamannya dinaiki banjir, dia terdengar jeritan daripada rumah berhampiran.

"Terdapat empat orang di rumah itu, tiga daripada mereka berjaya diselamatkan manakala seorang lagi gagal diselamatkan," katanya.

Katanya, dia dan rakannya cuba menyelamatkan lelaki berkenaan yang terperangkap namun, arus banjir terlalu kuat.

Seorang lagi penduduk Lembata, Juna Witak berkata, dia menyertai keluarganya di hospital selepas ibunya terbunuh dalam banjir kilat yang berlaku di mana mayat ibunya ditemui di tepi pantai.

"Kami terdengar bunyi menakutkan dan banjir melenyapkan rumah yang ada di sini," katanya.

Ketua agensi bencana Flores Timur, Alfons Hada Bethan berkata, hampir 2,500 penduduk meninggalkan Timur Leste dengan beberapa ribu lagi di Indonesia.

"Hujan yang belum berhenti menyukarkan usaha menyelamat.

"Kami jangka ramai sudah tertanam namun, tidak pasti angka sebenar mereka yang hilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 7:01 AM