Lamine Yamal
Lamine Yamal
Reuters

Cologne: Harapan England untuk berdepan Sepanyol tanpa Lamine Yamal dari Sepanyol berikutan undang-undang pekerjaan belia berkemungkinan terus menjadi persoalan, kata pakar hak kerja Jerman kepada Reuters.

Di bawah Akta Perlindungan Buruh Belia Jerman, golongan muda hanya boleh bekerja antara 6 pagi dan 8 malam, dengan pengecualian dibuat untuk atlet, yang dibenarkan beraksi sehingga 11 malam.

Perlawanan akhir Euro 2024 membabitkan Sepanyol menentang England bermula pada jam 9 malam waktu Jerman, dan boleh melepasi pukul 11 ​​malam jika perlawanan diheret ke masa tambahan dan penalti.

Terdapat spekulasi media pada awal kejohanan bahawa Yamal digantikan oleh pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente untuk mengelak daripada melanggar undang-undang buruh, walaupun penjelasan yang lebih jelas berkemungkinan ialah pengurus itu tidak mahu terlalu mengerah kudrat pemain berusia 16 tahun itu.

Bercakap kepada Reuters, pakar undang-undang pekerjaan Stephan Hinseln berkata walaupun peraturan itu terpakai kepada semua individu walaupun Yamal antara pemain bola sepak paling berbakat di dunia dan mungkin tiada apa yang akan berlaku dalam perkara terbabit

"(Ia) ini tidak bermakna bahawa steward akan tiba-tiba berlari ke padang dan mengheret Lamine Yamal pergi, tetapi itu mungkin akan dikawal oleh denda atau penalti berikutnya. Bagaimanapun, penalti ini adalah mengikut budi bicara pihak berkuasa yang berkenaan," jelas Hinseln .

Potensi denda sebanyak €30,000 ($32,000) boleh dikenakan ke atas pasukan Kebangsaan Sepanyol, tetapi Hinseln berkata ia tidak mungkin memberi banyak impak.

"Saya mengandaikan Persatuan Bola Sepak Sepanyol akan gembira menerimanya jika Lamine Yamal menjaringkan gol dan memenangi perlawanan akhir dan Kejohanan Eropah untuk Sepanyol," katanya.

Yamal menjaringkan gol menentang Perancis yang membantu Sepanyol mara ke final dengan kemenangan 2-1, menjadi pemain termuda yang pernah menjaringkan gol di Euro. Dia akan berusia 17 tahun sehari sebelum perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:05 AM