Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan. FOTO Agensi
Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan. FOTO Agensi

Jakarta: Ribut tropikal Seroja dilaporkan sudah mengorbankan 157 individu di Indonesia dan Timur Leste ,dengan puluhan masih hilang selepas taufan berkenaan melanda kawasan berkenaan.

Agensi pengurusan bencana Indonesia memaklumkan, sebanyak 130 kematian direkodkan di pulau terpencil dekat Timur Leste dan bakinya di kawasan berhampiran.

Menurut agensi itu, pasukan penyelamat Indonesia bertungkus lumus mencari lebih daripada 70 individu yang dilaporkan hilang dan dipercayai tertimbus bawah runtuhan dan lumpur disebabkan ribut taufan berkenaan.

Ribuan rumah musnah dalam bencana alam itu menyebabkan mereka yang terselamat terpaksa mendapatkan perlindungan di kawasan sekitar.

Insiden itu bukan sahaja memusnahkan rumah, beberapa hospital dan jambatan turut musnah.

Pihak berkuasa merekodkan 10,000 mangsa ribut taufan itu terpaksa melarikan diri dan meninggalkan kediaman masing-masing.

"Keadaan cuaca ekstem dijangka berterusan beberapa hari ini," kata jurucakap agensi bencana nasional, Raditya Jati.

Seroja dilaporkan sedang bergerak menuju pantai barat Australia.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 12:21 PM